Sample Page Title

KECEWA… Harapan jutaan pemandu teksi bagi menyaksikan nasib mereka dibela kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja gagal, malah berjaya ditipu rejim pentadbiran baharu yang lebih teruk.

Terbaharu, kelompok itu mendakwa mereka dianiaya sekali lagi apabila Kementerian Pengangkutan mengumumkan penubuhan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas mesyuarat pasca-Kabinet PH di Putrajaya semalam.

Lebih malang, menurut Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim), APAD dianggap sekadar usaha penjenamaan semula Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan kerajaan pada bulan lalu.

Justeru, Timbalan Pengerusi Persim, Kamarudin Mohd. Hussain menerusi mesej dikirim dalam aplikasi sosial yang tular hari ini menyeru semua pemandu teksi bersedia untuk perhimpunan protes terhadap keputusan kerajaan itu.

Demonstrasi bantahan secara aman itu bakal menyaksikan golongan tersebut angkat kain rentang luah kemarahan mereka termasuk desak pihak kementerian menghapuskan sepenuhnya SPAD yang dijadikan sebagai APAD pula.

“Saya rasa kita semua sudah boleh mula buat persediaan seperti cetak kain rentang berbunyi ‘Kami mahu hak kami dikembalikan. #hapusgrab’ dan ‘Kementerian Pengangkutan jangan hilangkan keyakinan kami terhadap Kerajaan’.

“Tindakan YB Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan buat keputusan bersendirian tanpa ambil kira masalah yang kita semua hadapi akibat keangkuhan pegawai SPAD dulu yang kini beliau kekalkan di dalam kementerian.

“Mungkin perhimpunan kali ini, kita boleh minta pemandu bas dan lori bersama-sama kita bagi menzahirkan hasrat untuk membawa pembaharuan di dalam senario industri pengangkutan awam darat negara,” tegas Kamarudin lagi.

Beliau malah menyifatkan tindakan kementerian mengekalkan jawatan pegawai SPAD dari Unit Perancangan dan Pembangunan; memberi gambaran awal nasib pemandu teksi sekali lagi tidak akan diberi pembelaan sewajarnya.

Dalam pada itu, Kamarudin menerusi kenyataan media hari ini turut mengulangi gesaan Persim bagi memansuhkan perkhidmatan Grab yang dianggap cabuli undang-undang negara, bahkan menjejaskan kebajikan pemandu teksi.

Baca: APAD Rancang Sektor Pengangkutan Awam Darat

Berikut ialah kenyataan penuh beliau:

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN DINASIHATKAN TIDAK MEMBUAT KEPUTUSAN YANG MEMBERI KESAN NEGATIF WARGA TEKSI TERHADAP KERAJAAN.

Sebenarnya apa yang dilakukan Kementerian Pengangkutan adalah sesuatu yang amat mengecewakan kami setelah kami diberi harapan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembubaran SPAD.

Kami sebenarnya tidak sekejam mereka (SPAD), kami boleh terima keputusan Kementerian Pengangkutan untuk menyerapkan mereka ke dalam kementerian tersebut, kerana itu akan memberi mereka peluang pekerjaaan.

Tetapi keputusan YB Anthony Loke masih lagi mengekalkan jawatan mereka (SPAD) di Unit Perancangan dan Pembangunan Sektor Pengangkutan Awam Darat benar-benar memberi tamparan hebat kepada kami sendiri.

Kami telah hilang kepercayaan terhadap SPAD dan tindakan mengekalkan mereka dengan jawatan asal memberi gambaran awal sejarah pentadbiran Kerajaan BN akan berulang lagi, dan kebajikan kami tidak akan terbela.


Sebenarnya kami juga faham perbezaan antara Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang akan mengantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Tetapi yang kami tidak boleh terima adalah keputusan YB Anthony Loke tetap mengekalkan jawatan dan mereka yang selama ini menabur pasir ke dalam periuk nasi kami dengan membenarkan kereta sapu Grab beroperasi.

Apakah Kerajaan PH tidak mempunyai golongan bijak pandai yang mampu mengantikan pegawai-pegawai SPAD yang telah terbukti gagal membawa sebarang pembaharuan kepada industri sejak 2010?

Sepatutnya kementerian menyegerakan penyelesaian isu Grab yang terang-terang cabuli kedaulatan undang-undang, bukannya selamatkan periuk nasi pegawai SPAD yang galakkan masyarakat cabuli undang-undang.

Jika banyak negara luar termasuk di negara maju sendiri boleh mengharamkan aktiviti kereta sapu Uber, kenapa pula kerajaan Malaysia begitu sukar untuk menyelesaikan isu berkenaan?

Jika Kerajaan berpendapat rakyat telah terbiasa dengan aktiviti kereta sapu moden itu, persoalannya apakah negara-negara maju lain yang telah mengharamkan aktiviti tersebut tidak menghadapi isu yang sama?

Kami bukan ingin menentang mana-mana pihak khususnya kerajaan, tetapi kami berhak bersuara apabila lihat kepercayaan yang diberi kepada PH secara umumnya kepada Kementerian Pengangkutan seperti tidak dihargai.

Kementerian Pengangkutan seolah-olah tidak lihat isu periuk nasi kami yang kini semakin berpasir; sebagai satu isu sangat penting. Kami berharap Kementerian Pengangkutan tidak berdolak-dalih dalam isu sangat merucing.

Kami telah lama sengsara atas pencabulan undang-undang oleh perkhidmatan Grab, seharusnya isu ini diberi keutamaan daripada semua isu lain termasuk menyelamatkan periuk nasi pegawai-pegawai SPAD.

Kami harap pihak Kementerian Pengangkutan tidak terus menerus membuat keputusan bersendirian tanpa mengadakan pembincangan dengan kami sendiri selaku pemain utama industri pengangkutan awam darat.

Pesanan ringkas daripada kami, jangan buat keputusan yang memberi kesan negatif warga pemain industri (Teksi, Bas dan Lori) terhadap imej Kerajaan PH.

KAMARUDIN BIN MOHD HUSSAIN
Timbalan Pengerusi Persatuan Transfornasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM).

Kategori

Artikel Berkaitan

Terkini

Hak Peribadi Masing-Masing Nak Pertikai Saya Lantik Zahid – PM

KUALA LUMPUR : Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri...

Gaji Jemaah Menteri Dipotong 20 Peratus Tiap Bulan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan gaji bulanan Jemaah Menteri akan...

Jemaah Malaysia Wajib Guna Imbasan Biometrik E-Visa Umrah

Kuala Lumpur : Jemaah Malaysia kini antara yang diwajibkan menggunakan imbasan biometrik bagi mendapatkan...

Harga Telur Lebih Murah Diumum Esok

PUTRAJAYA : Harga telur lebih murah akan diumumkan esok, kata Perdana Menteri, Datuk Seri...

K’jaan Digesa Bawa Masuk Jururawat Asing

Kekurangan jururawat pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini di hospital swasta dan...

Tengku Zafrul Di Qatar, Tak Hadir Mesyuarat Khas Kabinet

PUTRAJAYA : Hanya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku...

Siti Bainun Dimasukkan Ke Hospital Akibat Pneumonia, Hempedu

KUALA LUMPUR – Perbicaraan hari pertama bela diri, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa...