PETALING JAYA – Insiden tikam lidah antara seorang pemandu e-hailing dengan penumpangnya viral dan mencetuskan perdebatan dalam masyarakat.
Pemandu berkenaan didakwa enggan membantu penumpang orang kelainan upaya (OKU) fizikal itu yang menggunakan kerusi roda dalam satu insiden di Sri Damansara, baru-baru ini.
Insiden berkenaan didedahkan oleh mangsa, S. Jeyaraj, menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook sebelum tular di pelbagai platform media sosial.
Menurut Jeyaraj, beliau menempah perkhidmatan Grab dari Stesen MRT Sri Damansara Sentral ke sebuah cawangan bank di Sri Damansara.
Namun, sebaik kenderaan tiba, pemandu terbabit didakwa tidak keluar dari kereta untuk membantu, sebaliknya mempersoalkan mengapa mangsa tidak menempah kenderaan bersaiz lebih besar.
Keadaan menjadi lebih mengecewakan apabila pemandu tersebut didakwa meminta anak Jeyaraj yang berusia 12 tahun mengangkat bapanya masuk ke dalam kenderaan.
Permintaan itu ditolak dengan anaknya berkata “Saya tidak boleh tolong,” .
Pemandu berkenaan menyatakan kerusi roda berkemungkinan mencalarkan kenderaannya.
Lebih membimbangkan, pemandu berkenaan didakwa menggerakkan kenderaan ketika kaki Jeyaraj masih berada di dalam kereta, sekali gus hampir menyebabkan kecederaan serius.
Difahamkan, pemandu tersebut kemudian berpura-pura membatalkan perjalanan, namun terus memandu ke destinasi tanpa membawa penumpang.
Berikutan kejadian itu, Jeyaraj menggesa Grab Malaysia supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang gagal menghormati hak, keselamatan serta maruah penumpang OKU.
Orang ramai bagaimanapun diminta tidak membuat sebarang andaian selagi gambaran sebenar kejadian tidak diperolehi.
Tonton video kejadian di Channel Telegram Mynewshub di sini


