ALOR SETAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM36,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanah Merah, dekat sini pagi tadi.
Komandernya Abd Latif Abd Rahman berkata serbuan dilakukan sekumpulan enam anggota risikan AKSEM pada 11 pagi itu menemui pelbagai jenis mercun seperti mercun bola api yang amat berbahaya diletakkan di ruang tamu dan sebuah bilik di rumah berkenaan.
Berikutan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 30-an yang bekerja sebagai peniaga yang berada di rumah berkenaan sewaktu serbuan.
Suspek dipercayai mahu mengedarkan mercun dan bunga api itu kepada pelanggan yang sudah membuat tempahan di sekitar Pendang berikutan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, katanya dalam sidang media di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan menyimpan barang belum lulus kastam manakala barang rampasan diserah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri untuk tindakan lanjut. – BERNAMA