Sample Page Title

JITRA – Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar berkata beliau tetap akan mempertahankan kerusi itu walaupun akan ditentang rakan baiknya sewaktu dalam BN, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang kini bertanding atas tiket PKR-PPBM.

Aminuddin, yang lebih dikenali sebagai Pak Tam oleh penduduk setempat berkata, walaupun beliau adalah antara individu yang habis-habisan mempertahankan Mukhriz sewaktu diambang pemecatan sebagai menteri besar Kedah, namun jelasnya perkara itu adalah episod lama yang perlu ditutup.

“Saya ingin jelaskan bahawa semasa itu beliau (Mukhriz) merupakan pemimpin kita di dalam Kedah sebagai menteri besar, dan saya tidak pernah tidak menyokong mana-mana menteri besar yang dipilih oleh pemimpin parti pada ketika itu.

Dan saya menyokong beliau (Mukhriz) sampailah tamat episod beliau sebagai menteri besar, dan masuk episod baru, saya ditawarkan oleh menteri besar yang baharu (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) untuk terus untuk berkhidmat. Saya terima seadanya kerana saya orang parti,” katanya kepada Bernama.

Selain Mukhriz, Aminuddin juga akan ditentang calon PAS, Zulhazmi Osman.

Mengulas dakwaan Mukhriz bahawa peletakan Aminuddin sebagai calon BN di DUN Jitra adalah disebabkan kerana Mukhriz, beliau berkata BN Kedah sebenarnya telah memberi kepercayaan kepada lebih 90 peratus muka lama yang sedia meneruskan perkhidmatan cemerlang untuk bertanding semula.

“Begitu juga saya, saya tidak nampak saya sengaja diletakkan untuk bertanding dengan Mukhriz kerana beliau (Mukhriz) juga faham saya di DUN Jitra ini merupakan pemyandang dan beliau juga ada kesempatan lagi kalau tidak mahu bertembung dengan saya.

“Beliau (Mukhriz) masih ada kesempatan selaku timbalan presiden parti (PPBM) dan beliau mempunyai banyak pilihan untuk pilih bertanding di mana-mana kawasan,” katanya.

Malah, Aminuddin berkata, pemilihannya sebagai calon buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-13e (PRU13) yang lalu di kawasan itu adalah ketika beliau menjadi ketua pemuda bahagian Kubang Pasu dan setiausaha pergerakan pemuda UMNO Kedah, manakala Mukhriz sendiri pula sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan UMNO negeri.

“Dan bila mana saya dipilih jadi calon dan saya menang maksudnya pada PRU13 ia atas kewibawaan saya dan sokongan kawan-kawan, pengundi saya yang menangkan saya, maknanya pemilihan pada ketika itu adalah tepat,” katanya.


Justeru, beliau mempersoalkan mengapa anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu mahu pula bertanding di kerusi DUN tersebut pada PRU14 ini.

“Sekarang ini pada PRU14, kenapa Mukhriz datang sini untuk menentang, di N06 Jitra. Mungkinkah pada perkiraan beliau saya tidak lekat (dipilih) sebagai calon?,” katanya.

Berpegang kepada prinsip lawan tetap lawan, Aminuddin bagaimanapun berharap agar kesemua pihak dapat berkempen secara profesional dan mengekalkan suhu yang sejuk sehingga 9 Mei ini.

“Ingin kita sampaikan ialah BN bukanlah keterlaluan dalam kita berkempen, biasanya BN hanya pertahankan diri ketika diserang lawan, pertahan apa kita lakukan sepanjang kita jadi kerajaan dan berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya.

Ketika diajukan soalan mengenai apa pesanan beliau untuk Mukhriz, Aminuddin hanya menjawab “semoga kita dapat bertanding dalam suasana yang harmoni dan biar pengundi yang memilih kita (yakni) siapa yang memberi perkhidmatan yang terbaik, yang ada rekod pencapaian sebelum ini,” katanya.

Aminuddin menang dengan majoriti 3,056 undi mengalahkan calon PAS Rohani Abd Muttalib pada PRU13. – BERNAMA

Kategori

Artikel Berkaitan

Terkini

Kanada Berisiko Dilanda Taufan Fiona Hari Ini

KANADA: Hujan lebat dan angin kencang yang dibawa Taufan Fiona sudah melanda Bermuda yang...

Varian Baharu Omicron, BF.7 Dikenal Pasti

WASHINGTON – Saintis-saintis menemui satu lagi varian terbaharu Covid-19 yang bermutasi menjadi lebih kebal...

Bayi Perempuan Baru Lahir Ditinggalkan Di Atas Jalan Raya

KENINGAU: Seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di...

Lelaki Panah Anjing Hingga Mati Dicari Polis

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan individu yang bertindak membunuh anjing terbiar dengan menembaknya dengan...

Antara Setiakawan Tok Mat Dan “Poster Boy” BN

Tiada siapa boleh mempertikaikan semangat setiakawan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad...

‘Datin’ Isteri Bekas Ahli Perniagaan Maut Dibunuh

SEREMBAN – Seorang wanita warga emas bergelar ‘Datin’ maut selepas dipercayai bergelut dengan suspek...

PM Cipta Sejarah Ucap Dalam BM Pada Perhimpunan PBB

New York : Enam puluh lima tahun selepas seorang pemimpin negara bernama Ismail mencipta...