KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah akan menimbang untuk menarik balik pengharaman bot pam dalam usaha membantu nelayan miskin meningkatkan pendapatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata pengharaman penggunaan bot pam itu dilihat menghalang nelayan miskin daripada mencari rezeki di laut.
“Saya juga menyatakan kita (kerajaan negeri) akan ‘menghalalkan’ penggunaan bot pam. Ini satu langkah yang boleh membantu masyarakat, nelayan miskin di peringkat akar umbi untuk menjana mata pencarian.
“Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Ramli Din),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri terdahulu telah menguatkuasakan tarikh interim pengharaman penggunaan bot pam sejak Januari 2017 bagi meningkatkan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata perintah berkurung akan dilanjutkan kerana pelaksanaannya yang berkesan dalam membantu meningkatkan tahap keselamatan negeri.
Terdahulu, Mohd Shafie mengadakan lawatan di IPK Sabah bagi menghadiri sesi taklimat keselamatan negeri yang dihadiri Ramli dan Timbalannya Datuk Razarudin Husain serta ketua-ketua polis daerah. – BERNAMA