SEREMBAN – Pengerusi Parti Gerakan Negeri Sembilan Datuk David Choong Vee Hing berkata momentum sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) didapati semakin meningkat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya (dulu DUN Senawang) setelah masuk hari keempat berkempen hari ini.
Choong, calon BN bagi DUN Seremban Jaya, berkata momentum sokongan itu meningkat setiap hari dan yakin akan terus meningkat menjelang hari pembuangan undi, 9 Mei ini.
“Setakat ini situasi bertambah baik dan kita ada masa seminggu lagi untuk menyakinkan pengundi agar terus memberi sokongan terhadap BN. Antara faktor peningkatan sokongan ini adalah kekuatan BN di negeri ini di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk terus melaksanakan dasar ‘Memakmurkan Negeri, Mensejahterakan Rakyat’.
“Malah, manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan pada PRU14 untuk tempoh lima tahun akan datang yang menawarkan pelbagai insentif adalah jelas…ia adalah bukti dan bukan sekadar janji,” katanya kepada Bernama selepas menziarah seorang ibu tunggal yang sakit di Taman Sri Mawar 2 di sini, hari ini.
Pada PRU14, Choong ditentang penyandang P. Gunasekaren (PKR-DAP) dan X. Sagaya Rajan (PAP).
Mengenai calon muda Gerakan yang akan bertanding di DUN Bukit Kepayang, Mah Kah Keong, 33, beliau berkata Mah adalah calon terbaik kerana memenuhi kriteria pemimpin berwibawa.
Mah, Penasihat undang-undang Biro Aduan Nasional Gerakan, ditentang calon wanita dari PKR-DAP Tan Lee Koon. – BERNAMA

