KUALA LUMPUR – Pemilihan kepimpinan baharu UMNO di peringkat cawangan dan bahagian yang sedang berjalan kini merupakan tempoh kritikal yang dalam menentukan jatuh bangun parti di masa hadapan.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, semua ahli UMNO perlu memilih pemimpin yang bersifat adil, matang dan berintegriti untuk kembali mengangkat parti keramat itu ke tahap tertinggi.
Justeru beliau menyeru agar semua ahli tidak berkelahi dan memburukkan antara satu sama lain hanya kerana berbeza pendapat dan pendirian, sebaliknya ruang pemilihan itu perlu digunakan sebaik mungkin memperbaiki parti dengan penuh hikmah serta kewarasan.
“Terimalah hakikat dan keluar daripada kepompong kekalahan. UMNO tidak dibina berlandaskan wang ringgit, darjat dan kedudukan yang disandang. Jangan biarkan pemilihan ini meretakkan kesatuan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, malam tadi.
Dalam masa sama, Hishamuddin yang merupakan Ahli Parlimen Sembrong itu mengingatkan semua ahli UMNO supaya berjuang membela nasib bangsa Melayu serta rakyat marhaen.
“Ingat, UMNO berjuang untuk membela nasib bangsa Melayu dan rakyat. Ketepikan ego, sifat angkuh, kepentingan peribadi dan politik menikam belakang.
“Inilah peluang kita untuk sama-sama meletakkan kembali perjuangan UMNO ke landasan yang betul,” tegas Hishamuddin.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO menetapkan tarikh persidangan tahunan cawangan termasuk pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bermula 19 Mei hingga 10 Jun, manakala peringkat bahagian bermula 30 Jun depan.
Persidangan perlu dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di peringkat cawangan serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Pemilihan parti peringkat nasional pula akan menyaksikan semua jawatan tertinggi termasukPresiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden dipertandingkan seperti yang telah diputuskan MT UMNO, minggu lalu. – MYNEWSHUB.CC/EZ

