RAUB – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan dan martabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah insitusi pendidikan yang melahirkan ramai cendekiawan dan golongan profesional bumiputera.
Najib berkata keadaan itu berbeza dengan pembangkang yang sedikit pun tidak mempunyai agenda untuk menjaga institusi yang diwujudkan pada 1967 untuk membangunkan taraf sosioekonomi kaum bumiputera di negara ini.
“Saya nak cakap terus terang… belah sana tidak pernah terlintas di hati mereka untuk menjaga kepentingan dan martabat UiTM. Nak harap pada siapa, Nga Kor Ming, Lim Kit Siang, atau hendak harap pada yang lain juga tidak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Naib Canselor UiTm, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.
Najib berkata hasil penubuhan universiti itu, ramai golongan bumiputera menjawat jawatan penting sama ada dalam agensi kerajaan serta swasta di negara pada masa kini dan ia juga telah membantu berlakunya mobiliti sosial tanpa mengira latar belakang.
“Mereka yang ada di kampung paling tersorok pada hari ini pun ada yang berpeluang untuk masuk UiTM, malah menerusi program khas turun padang dari kampung ke kampung yang dilakukan oleh institusi ini juga berjaya mengubah destini anak bangsa.
“Kita cari pelajar yang kurang kemampuan dan pencapaian dalam pelajaran kerana masalah kemiskinan untuk beri pendedahan kepada mereka tentang pentingnya pendidikan untuk masa depan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya rakyat perlu bijak memilih kerajaan pada 9 Mei nanti untuk memastikan segala nikmat pembangunan dan peluang pendidikan yang dikecapi sebelum ini dapat diteruskan.
“Kita mesti pihak yang beri kita manfaat, apa gunanya menang sorak tetapi kampung tergadai. Kita boleh pilih sesiapa sahaja tetapi pertimbangan yang paling perlu diutamakan adalah sama ada pihak itu boleh bawa kehidupan kita yang lebih baik atau tidak pada masa akan datang.
“Pihak yang akan membawa perubahan kepada kita…siapa? Adakah DAP, Pakatan? Selama 60 tahun siapa yang jaga kita, siapa buat pembangunan, bukankah kerajaan BN daripada kita kecil sehingga kita besar, termasuk UiTM, siapa yang jaga, pemimpin mana yang bawa UiTM ke tahap ini, bukankah pemimpin BN?” kata Najib.
Katanya UiTM kini telah melonjak sehingga 23 tangga untuk menjadi universiti 158 terbaik di Asia melalui Quacqarelli Symonds (QS) Asia University Rankings 2018.
Laporan itu menyenaraikan institusi itu antara 1.3 peratus universiti teratas di Asia dan kini mempunyai seramai 170,000 pelajar di seluruh negara dengan bilangan alumni seramai 700,000 orang.
Sementara itu, Najib turut menyeru pengundi Melayu di kawasan Raub supaya menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun demi memastikan kemenangan BN.
“Saya nak beritahu yang paling penting BN ada muafakat, kalau di sini UMNO dan Orang Melayu sokong MCA, tetapi tempat lain, MCA akan sokong calon-calon UMNO, saya nak ajak tuan puan jangan fikir tentang pertempuran kecil… buka minda sedikit, kita bukan nak menang pertempuran kecil tapi nak menang peperangan besar.
“Kita tidak mahu kemenangan kecil, tetapi kita mahu kemenangan besar sebab nak tubuh kerajan yang kuat,” katanya. – BERNAMA

