PASANGAN selebriti, Nazim Othman dan Bella Dally mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan perkahwinan mereka sudah berakhir pada Khamis lalu.
Pengumuman tersebut ternyata menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan media dan peminat yang tidak henti-henti mempersoalkan mengenai perceraian mereka.

Pun begitu, nampaknya Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman dilihat tidak mudah melatah sebaliknya menjawab persoalan tersebut dengan tenang.
Menurut pelakon berusia 34 tahun itu, dia mengakui ramai pihak ramai pihak yang mempersoalkan perkara berkenaan.
Malah, ada segelintir antara mereka yang memberi pandangan serta cadangan untuk mereka berdua menyelesaikan masalah yang berlaku.
“Anda mungkin mempersoalkan banyak perkara, menyatakan pendapat dan malah mencadangkan penyelesaian untuk kami. Tapi, tak semestinya anda boleh kata apa saja seolah-olah tahu semua benda.
“Kami yang hidup bersama dan sepakat memilih untuk mengakhiri segalanya cukup sampai di sini sahaja,” kata Nazim menerusi laman Instastory miliknya pada Jumaat.

Ujar Nazim lagi, dia seboleh-bolehnya mahu menyimpan perkara itu namun terpaksa meluahkan kerana ingin melihat bekas isteri meneruskan kehidupan dengan tenang.
“Saya mahu menyimpan segalanya seboleh mungkin tapi saya luahkan sebab saya mahu dia teruskan hidup dengan tenang dan kejar cita-citanya. Apa yang anda tahu hanyalah luaran semata, lebih baik kita biarkan sebegitu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nazim turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memahami keadaan selain mendoakan Allah sentiasa merahmati kehidupan mereka.
Nazim dan Bella berkahwin pada 10 September 2016 dan tidak dikurniakan cahaya mata. – MYNEWSHUB.CC

