KEYAKINAN Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed boleh dikatakan ‘memakan diri’ apabila harga minyak dunia mula jatuh sejak beberapa hari sekali gus membahayakan kedudukan ekonomi negara.
Dr. Mahathir telah mengumumkan dalam satu kenyataan baru-baru ini supaya rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan potensi penurunan penarafan kredit disebabkan pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan.
Beliau menjangkakan keuntungan akan diperoleh dari harga minyak yang akan meningkat seterusnya menjadi harapan bagi mengekalkan ekonomi negara.
Bagaimanapun, harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) telah jatuh hampir 10 peratus untuk diperdagangkan sekitar AS$66.50 (RM265.50) setong berbanding AS$73 (RM291.45) setong minggu lepas.
Penanda aras Global minyak mentah Brent telah menurun sebanyak kira-kira enam peratus untuk diperdagangkan sekitar AS$76 (RM303.43) selepas mencecah melebihi AS$80 (RM319.40), lapor CNN.
Kejatuhan harga minyak ini amat memberi kebimbangan buat ekonomi negara yang hampir jatuh pada bawah paras bahaya AS$50 (RM199.63) setong.
Penurunan harga minyak tersebut telah diumumkan sendiri oleh negara pengeksport minyak terbesar dunia, Arab Saudi Jumaat lalu.
Andai trend penurunan ini berterusan, ditambah pula dengan kehilangan pendapatan melalui GST (turun kepada 0 peratus), bagaimana kerajaan akan mempunyai wang untuk terus mentadbir negara?
Pun begitu, Mahathir yakin dengan memberitahu, kerajaan sudah ambil kira semasa memutuskan bagi memperkenalkan semula subsidi petroleum ekoran turun naik harga minyak yang akan memberi impak ke atas hasil kerajaan.
“Apa yang kami putuskan ialah tidak lagi ada perubahan atau turun naik harga petroleum, yang kini bertukar setiap minggu.
“Ini suatu perniagaan yang distruktif kepada pembeli dan penjual, oleh itu sekarang ia kekal statik, namun jika kami perlu beri subsidi, maka kami akan memberikan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan lepas.
Baca : Jangan Bimbang Penurunan Penarafan Kredit – PM
Lebih membimbangkan lagi apabila ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini dengan harga 3.99 berbanding nilai dolar AS.
Hal ini terjadi disebabkan kekurangan permintaan terhadap mata wang tempatan itu.
Manakala Dolar AS terus kukuh Jumaat ini apabila Rizab Persekutuan mengambil satu lagi langkah menormalisasikan kunci kira-kira.
Ironinya, keadaan ekonomi semasa dengan penurunan harga minyak dunia, nilai ringgit yang lemah ditambah pula dengan keputusan menghapuskan GST pastinya memberi kesan buruk buat ekonomi negara.
‘Mimpi ngeri’ yang menghantui ekonomi negara di bawah pemerintahan Dr. Mahathir ini akan menjadi lebih teruk jika keadaan ini terus berlaku.
Perdana Menteri perlu bijak menstruktur dan mengukuhkan ekonomi negara dengan mengambil langkah yang sewajarnya demi kebaikan Malaysia. – MYNEWSHUB.CC/MIZE