Monday, April 29, 2024

Creating liberating content

Pesara Polis Digalak Guna...

KULIM - Pesara polis digalakkan menggunakan sepenuhnya aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam...

Video: Olo Siannya.. Budak...

ALAHAI.. sedihnya tengok video adik ni menangis sebab kucingnya mati.Tak tahu apa punca...

Najib Tandatangan Surat Perjanjian...

KUALA LUMPUR – Saksi ke-29, Amirul Imran Ahmat mendedahkan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP)...

PRU15: Ronald Kiandee Tawar...

BELURAN : Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menawarkan diri untuk...

Manifesto BN Tepati Keperluan Warga Belia Felda

KUANTAN – Langkah Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan kepada peneroka Felda, khususnya generasi muda mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini dianggap oleh pemerhati sebagai tepat pada masanya.

Janji-janji yang diketengahkan dalam manifesto itu kata mereka berupaya menangani kesan dakyah pihak tertentu yang sedang berusaha keras mempengaruhi warga tanah rancangan Felda yang sekian lama dilihat sebagai deposit tetap BN pada setiap pilihan raya.

Mengakui ada mendengar desas-desus akan berlaku gelombang menolak BN dalam kalangan pengundi muda Felda, pemerhati politik Wan Emril Nizam Embong bagaimanapun percaya BN berada di landasan tepat untuk menarik kembali golongan terbabit.

“Memang ada ura-ura (tsunami) tetapi kita minta generasi kedua dan golongan belia beri pertimbangan rasional, sebab kerajaan sekarang pun sedang menguruskan isu-isu berkaitan kebajikan mereka, terutama dari segi perumahan.

“Sebab itu, sekarang ini kita tengok manifesto kerajaan banyak beri fokus, menyediakan peluang untuk mereka ini terlibat dalam ekonomi digital dan keusahawanan, latihan dan kemahiran,” kata Wan Emril yang juga Pengerusi Majlis Belia Pahang kepada Bernama di sini.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Islam Pahang itu, walaupun kerajaan BN tidak pernah gagal memberi perhatian kepada kebajikan warga Felda, sedikit-sebanyak dakyah pembangkang tetap dapat menembusi pemikiran generasi muda, lebih-lebih lagi yang terdedah pada perkembangan media sosial.

Sementara itu, merujuk pada prestasi BN di peringkat Felda pada pilihan raya sebelum ini, penganalisis isu-isu semasa Datuk Ahmad Faris Abdul Halim merumuskan corak pengundian warga Felda sudah berubah.

Beliau memberi contoh di Parlimen Bera yang mempunyai 56,600 pengundi dengan 41 peratus atau kira-kira 23,300 adalah warga Felda namun majoriti yang diperoleh oleh calon BN pada PRU13 hanya 2,143 undi, sekali gus menimbulkan persoalan ke mana perginya undi warga Felda ketika itu.

Begitu juga di Parlimen Raub yang merekodkan 7,300 pengundi Felda daripada keseluruhan 57,000 pemilih dan pembangkang menang dengan majoriti 2,814 undi, katanya.

“Ke mana pergi pengundi Felda? Adakah mereka yang menyebabkan punca BN tewas di Parlimen ini atau mungkinkah undi mereka yang membantu mengelak BN daripada kalah lebih besar di situ,” katanya

Persoalan yang ditimbulkan itu wajar diambil kira oleh BN kerana kata Ahmad Faris daftar pengundi baharu menunjukkan kira-kira 570,000 pemilih adalah warga Felda dengan lima kerusi Parlimen mempunyai pengundi Felda tertinggi iaitu Jempol, Kuala Krau, Rompin, Kota Tinggi dan Pengerang.

Tinjauan Bernama di kawasan Felda Chini yang terletak dalam Parlimen Pekan turut merasai bahang kehadiran pembangkang dengan kelibat generasi muda bergotong-royong menaikkan bendera dan gegantung pembangkang dilihat hampir di kebanyakan tempat.


Kepanasan bahang kehadiran pembangkang itu diakui Ketua UMNO Cawangan Felda Chini Timur Jamil Jaafar namun beliau yakin BN tetap dapat mempertahankan kerusi tersebut memandangkan pengaruh pembangkang hanya dalam kalangan pengundi muda yang cenderung mengikut pandangan rakan.

Seorang lagi penganalisis politik, Md Shukri Shuib berpendapat pengundi baharu terutama yang berada di luar Felda mempunyai pandangan berbeza dengan mereka yang memilih untuk terus menetap di tanah rancangan Felda masing-masing.

“Mereka ini sudah terdedah dengan maklumat daripada media sosial selain mempunyai ‘circle of friends’ yang bukan dari Felda, jadi corak pemikiran mereka berbeza,” kata Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

Dari segi pembangkang pula, mereka sendiri tidak menduga mendapat sambutan berbeza berbanding masa lalu apabila berkempen di tanah rancangan Felda, terutama dalam kalangan generasi muda.

Calon Pakatan Harapan (PH) untuk Parlimen Paya Besar, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, 32 yang juga anak peneroka Felda Lurah Bilut, berkata mereka tidak menjangka dapat menembusi kawasan Felda Paya Besar yang selama ini kawasan putih BN.

Malah, katanya Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah dijemput melawat perkampungan Felda Bukit Goh di sini sebagai sebahagian rangka kempen PH ke Kuantan yang membuktikan penerimaan baik warga Felda terhadap pembangkang.

Di sebalik persoalan yang dibangkitkan penganalisis terbabit, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad baru-baru ini melahirkan keyakinan bahawa lebih 90 peratus daripada 112,000 peneroka di lebih 320 petempatan Felda di seluruh negara masih memberi sokongan penuh kepada BN.

Keyakinan Shahrir itu mungkin ada asasnya kerana pada PRU lalu BN mencatat prestasi memberangsangkan di kerusi yang mempunyai petempatan Felda iaitu menang 48 daripada 54 kerusi Parlimen dan 81 daripada 92 kawasan Dewan Undangan Negeri. – BERNAMA

Kategori