KAKITANGAN Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak akan diberhentikan, sebaliknya akan diserap terus ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata lebih 800 kakitangan tetap SPAD akan mengisi 1,000 kekosongan pelbagai jawatan di JPJ.
Beliau berkata, kakitangan SPAD boleh meneruskan kerja seperti biasa ketika ini namun, peranannya di ambil alih oleh kementerian melalui JPJ.
“Jangan bimbang…kakitangan tetap di SPAD tidak akan dipecat. Semua kakitangan SPAD akan diserapkan sebagai kakitangan tetap di bawah JPJ.
“Tetapi kita akan kaji kalau ada mana-mana jawatan yang bertindih,” katanya yang dipetik portal mStar Online.
Sehubungan itu, beliau turut meminta agar semua pihak tidak membangkitkan isu mengenai pemansuhan SPAD sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beberapa agensi dan badan kerajaan akan dibubarkan sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan kewangan negara.
Selain SPAD, beberapa agensi lain seperti Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). – MYNEWSHUB.CC

