MELIHAT kepada industri seni lakon kini, pelakon kini dibayar lumayan terutama sekali jika mereka mempunyai tahap populariti yang tinggi serta pengikut di media sosial yang ramai.
Sehinggakan ada daripada mereka menerima bayaran yang lumayan dan meletakkan harga tinggi kepada penerbit sekiranya mahu mengambil mereka berlakon dalam drama yang diterbitkan.
Bagi pengarah, Heykal Hanifah, dia mengakui enggan bekerjasama dengan pelakon yang mendapat bayaran yang lebih tinggi darinya dalam sesebuah penggambaran drama.
Heykal yang membawa pulang trofi Pengarah Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 itu berkata, dia bukan bersikap demand sebaliknya perkara itu merupakan pendiriannya sejak dahulu.
“Bagi saya, pengarah ibarat nakhoda dalam sesebuah produksi drama. Sebagai pengarah, saya juga terbabit dari proses awal iaitu pra-produksi, penggambaran hinggalah kerja suntingan sesebuah drama itu.
“Itulah yang saya belajar dengan guru saya dalam bidang pengarahan dulu,” katanya memetik portal HMetro Online.
Heykal berkata demikian ketika ditemui media selepas berakhirnya Anugerah DFKL 2018 yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, malam tadi.
Heykal membawa pulang anugerah menerusi kategori Pengarah Pilihan itu menerusi arahannya dalam drama Titian Cinta lakonan Zul Ariffin dan Farah Nabilah.
Justeru, Heykal meminta pelakon tempatan untuk tidak meletakkan harga yang tinggi dan tidak munasabah hanya dengan bersandarkan populariti dan pengikut yang tinggi di media sosial.
Heykal berkata, penerbitan drama itu mempunyai bajet atau peruntukan yang tersendiri dan pelakon juga perlu menghormatinya.
“Saya berharap pelakon kita tidak letak harga yang merepek dan perlu sedar dengan harga mengikut pasaran dan bajet ditetapkan dalam sesebuah projek drama itu.
“Mereka perlu sedar kita berada di Malaysia dan bukannya di luar negara,” jelasnya.
Namun begitu, Heykal mengakui setakat ini tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak stesen televisyen berhubung prinsipnya itu.
Malah pihak berkenaan juga akan berbincang dengannya terlebih dahulu dan memberikan sebab yang kukuh sekiranya mempunyai pilihan pelakon tersendiri.
“Setakat ini, pihak stesen TV3 dan RTM faham dengan prinsip saya itu dan kami masih ada persefahaman.
“Jika pihak stesen mahukan seseorang pelakon itu, mereka perlu ada sebab yang kukuh dan bincang dengan produksi,” ujarnya.
Pada malam kemuncak anugerah tersebut, drama Titian Cinta arahan Heykal berjaya menggondol empat trofi menerusi kategori Pengarah Pilihan, Skrip Pilihan (Farhana Fauri) dan Lagu Tema Pilihan, Sumpah Cintaku nyanyian Asfan. – MYNEWSHUB.CC/EZ