KUALA LUMPUR – Empat lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng 08’ yang dipercayai aktif melakukan jenayah serius termasuk bunuh dan samun di sekitar ibu negara sejak tiga tahun lepas.
M. Indran, 32, S. Sathiaseelan, 28, M. Arivanathan, 24, dan N. Saravanan, 33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Tamil, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka dituduh menganggotai kumpulan jenayah terancang ‘Geng 08’ di sini antara 1 Jan 2015 dan 8 April tahun ini mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Keempat-empat tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin kerana mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang tidak boleh dijamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. Hakim Zaman Mohd Noor menetapkan 25 Jun untuk sebutan semula kes.
Pada 23 April lepas, seramai 18 lelaki dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan serupa.
Media sebelum ini melaporkan bahawa polis menerusi Op Capital dari 28 hingga 30 Mac lalu telah menahan anggota kongsi gelap ‘Geng 08’ serta memburu beberapa orang lagi kerana didakwa terbabit dalam jenayah terancang dan serius seperti bunuh, peras ugut, penggubahan wang haram serta samun. – BERNAMA

