Thursday, May 16, 2024

Creating liberating content

Belia Sarawak Mampu Warisi...

SIBU - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melahirkan keyakinan tinggi...

Misteri Terungkai, 2 Beranak...

SEREMBAN : Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang...

Rizab Antarabangsa BNM Susut...

KUALA LUMPUR - Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah US$103.4 bilion (US$1 = RM4.17) pada...

Model Cuba Malukan Wanita,...

SEORANG model Playboy telah dikecam di media sosial selepas dia memalukan seorang wanita yang...

Bos PNB Dedah Bahaya Hapus GST Diganti Balik SST

MUNGKIN ramai maklum dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) mahu hapus cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang didakwa konon tindas rakyat jika menang Pilihan Raya Umum (PRU).

Malangnya tanpa disedari, blok pakatan itu tidak menyatakan apakah alternatif kepada isu tersebut di sebalik cuba momok dengan mendakwa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dimansuhkan kononnya adalah lebih baik.

Mereka berjaya memperbodohkan rakyat yang jahil mengenai isu ekonomi makro walhal SST yang dilaksanakan sebelum 2014, sebenarnya malah jauh lebih tinggi kadarnya iaitu 16 peratus berbanding GST hanya enam peratus.

Bahkan sistem kutipan SST mudah dimanipulasi peniaga tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlaku ketirisan hasil negara akibat penipuan rekod bisnes yang disebut juga sebagai ekonomi mafia atau black economy.

Menyedari tindakan jentera PH sengaja mengeksploitasi GST dalam kempen politik untuk PRU ke-14, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar tampil dengan membuat pencerahan.

Menerusi surat terbuka yang disiarkan sempena hari pengundian esok, tokoh korporat itu menceritakan secara terperinci isu GST dan bahaya kepada negara jika dimansuhkan hanya kerana janji politik populis pembangkang.

Berikut ialah kenyataan penuh Abdul Wahid:

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera rakan-rakan sekalian.

Alhamdulillah kurang sehari lagi pada hari Rabu, 9 Mei ini, kita rakyat Malaysia bakal menjalankan tanggungjawab untuk mengundi wakil rakyat pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ramai rakan tidak sabar keluar mengundi setelah sekian lama berkempen dan ‘dikempen’. Bagi kita yang bukan ahli politik pun terasa penat. Bayangkan apa perasaan ahli politik yang terlibat secara langsung dalam PRU14 ini.

Kita hargai mereka yang secara sukarela mengenengahkan diri untuk bertanding dan berkhidmat kepada rakyat. Tidak kira sama ada menang atau kalah, kedua-duanya memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa keluarga.

Sekiranya menang, sebahagian daripada mereka bakal berpeluang untuk memegang jawatan dalam pentadbiran yang pendapatannya mungkin tidak setimpal dengan tanggungjawab berat yang perlu dipikul.

Sekiranya mereka kalah, lagilah berat kerana mungkin terpinggir dari kancah politik negara sekurang-kurangnya untuk selama lima tahun lagi. Dalam tempoh kempen 11 hari lalu, pelbagai isu panas telah dibangkitkan.

Antara yang paling kerap dibahaskan pembangkang adalah cukai barangan dan perkhidmatan atau GST. Izinkan saya menyentuh 5 perkara berkenaan GST yang telah diperkenalkan 3 tahun yang lalu pada 1 April 2015.

GST 6% ini menggantikan cukai jualan 10% & cukai perkhidmatan 6%. Ia bukan pun cukai tambahan. Kadar 6% yang dikenakan itu bahkan adalah paling rendah di rantau ASEAN dan antara yang terendah di dunia.

Sebanyak 160 negara telah melaksanakan GST atau Value Added Tax (VAT). Sebagai contoh, Singapura 7%, Thailand 7%, Indonesia 10%, Vietnam 10%, Filipina 12%. Di Australia 10% dan di Britain jauh lebih tinggi iaitu 20%.

Untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barangan kepada rakyat, pihak Kerajaan malahan telah memperluaskan senarai ratusan barangan asas yang dikenakan kadar sifar (0%) iaitu langsung terkecuali daripada GST.

Ini termasuk barangan makanan asas harian rakyat marhaen seperti beras, gula, minyak masak, ayam, daging, ikan dan sebagainya, selain ubat-ubatan, buku bacaan, akhbar harian serta minyak petrol RON95 dan diesel.

Semasa pelaksanaan GST diumumkan dalam Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013, Kerajaan juga telah mengumumkan langkah ‘pengimbangan’ atau offset measures seperti pengurangan cukai pendapatan individu antara 1 hingga 3%.

Juga menerusi langkah pengurangan cukai pendapatan korporat daripada 25% kepada 24% serta usaha pengurangan cukai perusahaan kecil dan sederhana daripada 20% kepada 19%.

Pemberian BR1M isirumah berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan juga ditingkatkan daripada RM500 ke RM650 manakala isirumah berpendapatan RM3,000-4,000 sebulan mula diberikan RM450 buat pertama kali.


Seterusnya dalam pembentangan Bajet 2015, jumlah BR1M telah dinaikkan masing-masing kepada kepada RM950 & RM750. Untuk individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah pula, BR1M dinaikkan kepada RM350.

Ini semua bertujuan untuk meringankan impak kenaikan harga barang. Tujuan asal pelaksanaan GST adalah untuk memperluaskan lagi asas percukaian negara memandangkan kita hanya ada 2 juta pembayar cukai pendapatan.

Ia satu jumlah kecil berbanding jumlah rakyat Malaysia seramai 30 juta. GST ialah cukai penggunaan (consumption or indirect tax) di mana mereka yang berbelanja lebih adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan tinggi.

Ini juga selaras dengan langkah konsolidasi fiskal yang menyasarkan ke arah bajet seimbang dalam jangka masa pertengahan. Dengan peningkatan pendapatan Kerajaan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan defisit fiskal kita.

Malah Kerajaan dapat melaksanakan banyak projek pembangunan prasarana awam yang tertangguh sebelum ini seperti pembinaan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, balai polis, bomba, masjid, lapangan terbang dan lain-lain.

Ini termasuklah pembinaan lebuh raya Pan Borneo yang sedang rancak pembinaannya dan dijangka siap pada tahun 2022. Terdapat cadangan untuk menghapuskan GST dan berbalik kepada sistem percukaian lama iaitu SST.

Bagi saya ini suatu langkah yang ke belakang atau ‘regressive’ dan boleh membahayakan ekonomi. Ini kerana kutipan GST pada tahun 2017 adalah sebanyak RM42 bilion dan dijangka meningkat kepada RM44 bilion tahun ini.

Ini berbanding kutipan SST hanya RM17 billion pada tahun 2014. Sekiranya GST mahu dimansuhkan, terdapat kekurangan pendapatan sebanyak RM27 bilion (atau 2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK).

Sekiranya ini berlaku, Kerajaan ada 3 pilihan. Pertama – Menaikkan cukai pendapatan atau perkenal cukai baru seperti cukai keuntungan modal (Capital Gains Tax). Kedua – Mengurangkan perbelanjaan termasuk pembangunan.

Ini bermakna Kerajaan membatalkan atau menangguhkan projek pembangunan yang telah diluluskan sebelum ini; atau Ketiga – Meningkatkan defisit fiskal kepada 5%. Kesemua opsyen tersebut sebenarnya amat berbahaya.

Ini boleh jejas pasaran modal mengakibatkan penarafan kredit hutang antarabangsa negara diturunkan daripada paras A3/A- kepada BBB. Ini sudah tentu meningkatkan kos pinjaman dan memudaratkan ekonomi negara.

Saya berharap agar sistem GST akan dikekalkan. Perhatian boleh diberikan kepada memperbaiki lagi pelaksanaan program dan projek-projek yang dapat memberikan lebih peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat.

Juga mampu mempertingkatkan lagi aspek kesejahteraan rakyat. Ini selaras dengan matlamat model baharu ekonomi yang berhasrat menyasarkan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju yang inklusif dan mampan.

Justeru menjelang 9 Mei 2018, saya menyeru rakan-rakan mengamalkan 3 perkara berikut:

1. Keluarlah mengundi seawal mungkin kerana ini juga adalah hak asasi kita sebagai warganegara Malaysia.
2. Jangan benar pendapat politik memecah-belahkan atau mengasingkan keluarga. Silaturrahim perlu kekal.
3. Menerima keputusan dengan hati terbuka, merapatkan saf dan bersatu kembali membangunkan negara.

Marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing, bersikap membina, menghayati, mengamalkan prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Selamat mengundi & salam hormat.

Abdul Wahid Omar
7 Mei 2018

Kategori