WALAUPUN sudah bergelar janda selama sembilan tahun, pelakon jelita Wan Sharmila mengakui tidak gusar apabila masih belum bertemu jodoh.
Pelakon yang lebih mesra disapa dengan nama panggilan Lala itu berkata, dia mengakui berasa lebih selesa menjalani hidup solo selepas bercerai berbanding bekas suaminya yang sudah mempunyai pengganti.
“Setakat ini belum ada mana-mana lelaki berjaya mengetuk pintu hati saya. Diikutkan saya selalu berdoa agar dipercepatkan jodoh.
“Sebenarnya ramai cuba mendekati tetapi mereka tidak kena dengan kriteria yang dikehendaki oleh saya.
“Saya mahu lelaki yang boleh memberikan kasih sayang sepenuhnya terhadap diri saya. Jika ada individu mempunyai ciri-ciri begini pasti saya pilih,” katanya dipetik Harian Metro.
Kata pelakon itu lagi, keluarga turut memahami diri dan situasinya malah tidak pernah memberikan tekanan dengan bertanyakan soal jodoh.
“Cuma kadangkala apabila berjumpa, ada yang minta saya supaya cepat kahwin. Tetapi cara mereka bukanlah mendesak sehingga buatkan saya tertekan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 37 tahun itu kini dikatakan telah menceburi bidang perniagaan dengan menjual baju raya rekaannya sendiri berjenama Lama By Wan Sharmila.
“Saya cuba mereka bentuk satu baju raya dan Insya Allah jika sambutan baik, ianya akan berpanjangan seterusnya. Saya ada perancangan untuk buka gerai menjual baju kurung ini di mana-mana karnival semasa Ramadhan.
“Bajunya sudah siap tetapi rekaannya tidaklah gah seperti yang dihasilkan oleh pereka popular kerana saya hanya berniat mencuba,” katanya.
Terdahulu, Wan Sharmila pernah berkahwin dengan Fazli Baharom pada 2007 bagaimanapun hubungan yang dibina tidak kekal apabila mereka telah bercerai dengan talak satu pada 23 Oktober 2009. – MYNEWSHUB.CC/AM