KUANTAN – Seramai 6,527 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan untuk mengawal ketenteraman dan keselamatan di seluruh negeri Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) esok.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata mereka terdiri daripada pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Ibu Pejabat PDRM, Unit Pencegah Rusuhan (PORU) (144), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara PDRM, dan Pasukan Simpanan Sukarelawan Polis.
“Kami juga mendapat bantuan 1,044 anggota RELA,” katanya pada sidang media di IPK Pahang hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau berkata polis telah mengenalpasti 16 kawasan panas yang menjadi tumpuan saingan sengit politik dan 14 kawasan ‘sensitif perkauman dan keagamaan yang akan diberi perhatian.
Katanya terdapat 14 lokasi pusat penjumlahan undi dan 522 pusat mengundi dan 1,662 saluran di seluruh negeri Pahang dengan 802,482 pengundi, tidak termasuk pengundi awal.
Beliau berkata anggota-anggota ini akan ditempatkan awal pagi esok sehingga selepas selesainya penjumlahan undi dan akan terus bersedia sehingga kerajaan baharu ditubuhkan.
“Pengundi juga tidak perlu risau atau rasa bimbang dengan keselamatan mereka, kerana anggota kami akan sentiasa bersedia untuk menangani sebarang insiden di luar jangkaan.,” katanya lagi.
Beliau juga menasihati pengundi untuk keluar mengundi seawal yang mungkin dan melaporkan kepada polis sekiranya menerima ancaman dari pihak-pihak luar untuk tindakan sewajarnya selain membawa kad pengenalan dan menyemak tempat mengundi serta saluran yang betul.
“Mereka juga perlu mengikut arahan polis serta anggota sukarelawan yang bertugas apabila sampai di pusat pengundian untuk mengelakkan kesesakan di pintu masuk pengundian,” tambahnya lagi
Beliau turut mengingatkan kepada parti yang bertanding supaya tidak menimbulkan kekecohan serta provokasi demi kelancaran perjalanan PRU14. – BERNAMA