LAMA menghilang, kini penyanyi Safura dikatakan mahu menunaikan impian ibunya yang terlantar sakit untuk menyaksikan persembahan pentasnya pada 1 Mei depan sempena sambutan Hari Ibu.

Ibunya yang berusia 75 tahun itu sedang dirawat dekat Unit Penjagaan Kritikal (CCU) Hospital Selayang, Selangor selepas disahkan menghidap penyakit diabetis dan paru-paru berair sejak minggu lalu.
Bagi Safura atau nama sebenarnya Safura Yaacob, 45, dia sangat berharap agar permaisuri hatinya tersebut akan sihat seperti sediakala demi merealisaikan impian ibunya itu.
https://www.instagram.com/p/Bg8GaicADH2/?taken-by=safurashah
“Saya sudah lama tidak mengadakan persembahan besar dan mungkin kali terakhir sekitar enam tahun lalu.
“Apabila mendapat tawaran menjayakan persembahan hari ibu memang saya teruja kerana ini juga peluang saya untuk menghiburkan ibu sendiri selepas sekian lama.
“Bagaimanapun kesihatannya terjejas teruk sejak minggu lalu dan saya setiap hari berdoa agar kesihatannya kembali pulih dan dapat hadir ke persembahan saya itu nanti,” katanya dipetik portal mStar Online.

Ketika persembahan itu, Safura bakal berkongsi pentas bersama-sama dengan Liza Hanim dan turut tidak ketinggalan, pelakon hebat Fauziah Ahmad Daud selaku pengacara majlis.
Majlis Sepetang Bersama Bonda Ratuku itu bakal berlangung di Hotel Premiera Kuala Lumpur pada 1 Mei depan pukul 2.30 petang. Namun, dalam keterujaan itu, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu tetap berasa agak terkilan.
Ini kerana dia masih belum memaklumkan kepada ibunya tentang persembahan istimewa berkenaan disebabkan mahu memberi kejutan kepada wanita yang telah melahirkannya selama ini.

Bagaimanapun, dia telah membuat persiapan awal dengan menempah meja khas buat ibunya bagi acara itu nanti.
Sebelum ibunya disahkan menghidap penyakit kencing manis dan paru-paru berair, wanita itu telah mula mengalami batuk yang berterusan sebelum mengambil keputusan untuk dibawa ke klinik bagi rawatan lanjutan.
“Selepas diberitahu keadaan ibu saya bersama ahli keluarga yang lain membawa ibu ke hospital dan dia diberikan rawatan kecemasan kerana keadaannya sudah agak teruk.
“Jantungnya juga lemah dan doktor mengambil keputusan menidurkannya dan memasang alat bantuan pernafasan,” tambahnya.

Pihak doktor yang merawat turut mendapati kaki dan beberapa lagi anggota badan ibunya telah mengalami bengkak kerana dipercayai akibat penyakit paru-paru berair.
Dalam masa yang sama, dia berasa agak lega kerana kini ibunya tidak lagi memerlukan bantuan alat pernafasan dan boleh bernafas seperti biasa.

“Sebelum ini jantungnya lemah tetapi sekarang Alhamdulillah sudah ada peningkatan. Harap-harap keadaannya akan kembali pulih tidak lama lagi,” ujarnya lagi.
Safura juga berasa agak teruja kerana bakal bergandingan dengan Liza Hanim buat kali pertama dan dia akan menyampaikan sebanyak lima buah lagu popularnya. – MYNEWSHUB.CC/AH

