KOTA BHARU – Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) turut memberi tempias kepada golongan muda untuk mendapat “duit saku” melalui upah memasang bendera dan kain rentang oleh parti-parti politik yang bertanding.
Tinjauan Bernama di beberapa kawasan Parlimen di negeri ini termasuk di Parlimen Kota Bharu menunjukkan perang bendera dan kain rentang semakin rancak menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini.
Penyokong parti yang bertanding mulai ‘bersengkang mata’ untuk memasang bendera parti masing-masing di lokasi pilihan selain menghiasi pos-pos parti untuk menarik perhatian pengundi yang akan mengundi pada 9 Mei nanti.
Seorang pekerja memasang bendera, Anuar Jusoh, 31, berkata beliau melakukan kerja memasang bendera itu dengan bantuan rakan-rakan serta penduduk tempatan yang menyokong parti masing-masing.
Beliau berkata selain bendera, ada juga penyokong parti yang membuat pelbagai replika seperti kapal terbang, dengan hiasan lampu warna warni untuk diletakkan di pos parti supaya kelihatan lebih menarik.
“Biasanya ada pihak yang membekalkan bendera sama ada yang kecil atau besar untuk dipasang di beberapa lokasi strategik.
“Untuk kerja seperti ini biasanya kami diberikan sedikit imbuhan dan sekiranya bendera yang mahu dipasang agak besar, imbuhan mungkin lebih banyak,” katanya.
Seorang lagi pekerja memasang bendera Asri Ismail, 32, berkata kerja memasang bendera biasanya dilakukan dari pukul 9 malam sehingga awal pagi.
“Walaupun sibuk memasang bendera dan menghias pos yang didirikan di tepi jalan namun kami akan pastikan ianya tidak menganggu pengguna jalan raya.
Biasanya kerja memasang bendera di tempat atau tiang tinggi kita menggunakan tangga atau kadang kala perlu panjat pokok,” katanya.
Asri berkata golongan muda adalah yang paling teruja setiap kali menjelang pilihan raya kerana boleh membuat ‘duit saku’ dengan mengambil upah memasang bendera serta kain rentang.
“Kebiasannya kami diupah secara berkumpulan malah ada yang mengenakan bayaran antara RM70 dan RM100 bergantung kepada kesukaran termasuk terpaksa memanjat pokok yang tinggi,” katanya.
Turut mendapat rezeki adalah pembekal buluh untuk dijadikan tiang bendera yang mendapat permintaan tinggi daripada parti-parti yang bertanding.
Tempoh berkempen selama 11 hari mulai Sabtu ini akan menggandakan lagi perang bendera dan poster parti-parti yang bertanding dan sudah tentu rezeki untuk anak-anak muda yang rajin ini turut bertambah. – BERNAMA

