PERTANDINGAN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh dikatakan yang paling sengit dalam sejarah, menemukan tiga gabungan parti politik dan puluhan calon bebas daripada pelbagai parti.
Dalam 222 kerusi Parlimen, 687 pencalonan telah diterima, mewakili 29 buah parti, jumlah parti tertinggi sejak peningkatan mendadak pada PRU13 tahun 2013.
Daripada 222 kerusi itu, 192 akan menyaksikan pertandingan melebihi dua penjuru, sehingga mencapai jumlah tujuh penjuru.
Berikut saingan sengit yang akan berlaku pada 9 Mei nanti, dari satu lawan satu hingga tujuh penjuru:
1. Satu lawan satu – 30 kerusi Parlimen, 382 DUN
2. 3 penjuru – 151 kerusi Parlimen, 343 DUN
3. 4 penjuru – 33 kerusi Parlimen, 80 DUN
4. 5 penjuru – 6 kerusi Parlimen, 31 DUN
5. 6 penjuru – 2 kerusi Parlimen, 9 DUN
6. 7 penjuru – 1 DUN
Ini disebabkan terutamanya oleh kemunculan Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dan Parti Warisan Sabah, yang tertubuh hasil perpecahan dua parti besar Melayu, UMNO dan PAS.
Selain gabungan Barisan Nasional (BN), parti-parti pembangkang DAP, PKR, PPBM dan PAN menubuhkan pakatan baharu dinamakan Pakatan Harapan, selepas menolak keluar PAS yang bersama mereka dalam Pakatan Rakyat.
Di peringkat Dewan Undangan Negeri, seramai 1,646 menjadi calon di 505 kerusi, jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya umum.
Cabaran pertandingan sengit ini mungkin mencabar bagi BN, tetapi lebih sukar bagi pembangkang PH yang terpaksa bersaing dengan gabungan Gagasan Sejahtera dipimpin PAS.
Antara tiga gabungan utama itu, salah satunya, Gagasan Sejahtera, hampir sepenuhnya didominasi PAS, berbeza dengan BN dan PH.
Ini bermakna PAS boleh dikatakan hampir secara bersendirian menghadapi gabungan lain, terutama PH yang paling kuat memusuhinya.
Berdasarkan pencalonan, calon-calon PH dilihat lebih bertujuan untuk menyekat kemenangan besar PAS terutama di Kelantan.
Walaupun jumlah penyertaan yang besar melibatkan puluhan parti, pertandingan di negeri-negeri Melayu masih sebahagian besarnya melibatkan PAS dengan UMNO, dua parti terbesar orang Melayu yang merupakan majoriti warga Malaysia. – Mynewshub.cc

