GEORGE TOWN – Pengasas syarikat barangan kemas bumiputera, Habib Jewels, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pukul 4.26 pagi Rabu.
Allahyarham yang berusia 92 tahun itu dikatakan tidak sedarkan diri sejak dua minggu lalu selepas mengalami kecederaan pada kepala dipercayai akibat terjatuh di rumahnya.
Jenazah beliau dibawa dari Gleneagles Medical Centre untuk disembahyangkan di Masjid Kapitan Keling selepas solat Zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak di sini.
Allahyarham mengasaskan jenama Habib Jewels sejak 1958 bermula secara perniagaan kecil di Lebuh Pitt yang kini telah diwarisi oleh anaknya pula, Datuk Seri Meer Sadik.
Habib Mohamed meninggalkan lima orang anak, sembilan cucu dan seorang cicit. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA