PUTRAJAYA – Parti politik dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diingatkan tidak memainkan isu-isu sensitif seperti agama dan perkauman untuk meraih sokongan politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.
Kurup yang portfolionya merangkumi perpaduan negara berkata usaha membina perpaduan dan keharmonian dalam negara yang berbilang kaum mengambil masa lama namun ia boleh runtuh dan ranap dalam sekelip mata jika tidak dipelihara .
“Kita harus ketepikan isu agama dan perkauman.
“Isu-isu seperti agama dan perkauman tidak membawa apa-apa manfaat malah hanya menimbulkan perasan benci antara satu sama lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perlepasan Program Kembara Perpaduan Media 2018 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Perpaduan) di sini hari ini.
Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata semua parti politik harus memberi fokus untuk berkhidmat untuk rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka bagi mengecapi kemajuan dan kehamornian dalam negara.
Program Kembara Perpaduan Media 2018 bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengamal media mendapatkan informasi terus berhubung inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk memupuk dan mengukuhkan perpaduan dalamkalangan rakyat Malaysia.
Dalam program sehari itu, pengamal media akan melawat Tabika Perpaduan dan kebun pertanian bandar di Taman Kajang Utama, Kajang selain berkunjung ke Pusat Mediasi di Presint 9 di sini.
Para peserta juga dibawa meninjau aktiviti pertanian bandar yang diusahakan Kawasan Rukun Tetangga Taman Kajang Utama bersama d’Farm House Kajang yang memperkenalkan tanaman sayuran daun menggunakan Unity Gardening Drum (UGD) iaitu teknik penanaman sayuran secara vertikal.
UGD merupakan medium untuk menarik minat komuniti setempat menanam secara berkelompok dan sekali gus dapat menghidupkan konsep kejiranan dan perpaduan. – BERNAMA

