KOTA KINABALU – Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) mendominasi agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gabungan Sabah apabila akan bertanding di 15 kerusi Parlimen dan 25 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Timbalan Presiden 1 Harapan Rakyat Datuk Maijol Mahap berkata parti itu juga akan bertanding di kerusi Parlimen Labuan.
“Ini bermakna Harapan Rakyat akan bertanding di 16 kerusi Parlimen pada PRU14 ini,” katanya pada sidang media mengumumkan perkara itu, di sini hari ini.
Selain Harapan Rakyat tiga lagi anggota Gabungan Sabah ialah Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).
Kerusi Parlimen yang akan ditandingi Harapan Rakyat ialah Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Putatan, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Batu Sapi, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Tawau.
Kerusi DUN pula ialah Banggi,Pitas, Usukan, Sulaman, Karambunai, Petagas, Kawang, Pantai Manis, Bongawan, Membakut, Klias, Kuala Penyu, Lumadan, Sindumin, Karanaan, Kemabong, Nabawan, Gum-Gum, Sukau, Tungku, Sulabayan, Senallang, Balung, Apas, dan Merotai.
Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN. – BERNAMA