MULA tempa nama dalam industri hiburan tanah air sejak membintangi drama Mencintaiku Mr. Photographer, populariti pelakon jelita asal Singapura, Hannah Delisha naik mendadak di negara ini.
Disebabkan perkara itu, terdapat cakap-cakap yang mengatakan bahawa Hannah dan pihak pengurusannya sudah mula meletakkan harga tinggi seiring dengan popularti yang diraih.
Menyangkal dakwaan liar tersebut, pelakon meningkat naik itu berkata tuduhan yang dilemparkan berkenaan sebagai tidak berasas.

Malah aktres berusia 22 tahun itu juga mendedahkan bahawa pihak pengurusannya sudah pun menyelesaikan perkara itu dengan produksi drama tersebut.
“Ia hanya gosip dan tidak wujud pun masalah yang ditimbulkan itu kerana kami masih bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk beberapa projek lain.
“Pengurusan saya juga sudah bertanya dengan pihak terbabit dan mereka juga tidak tahu dari mana datangnya kenyataan itu,” katanya dipetik portal mStar Online.
Hannah berkata demikian ketika diminta memberi sedikit komen berhubung laporan ruangan gosip sebuah akhbar tempatan yang mengatakan aktres itu meminta sehingga RM3,000 untuk satu episod drama terbitan MIG Production.
Selain itu, Hannah dikatakan terlalu berkira dan telah pun melupakan jasa syarikat produksi tersebut yang bertanggungjawab mengangkat namanya dalam industri seni lakon tanah air menerusi drama Mencintaimu Mr. Photographer.
Bagaimanapun, Hannah menganggap perkara berkenaan sebagai lumrah menjadi seorang selebriti di mana gosip sebegini harus sentiasa dihadapi oleh mereka.
Hannah, yang juga merupakan seorang penyanyi itu ditemui di majlis pelancaran drama mini Tiga Gadis Manis musim kedua.

Dalam pada itu, pelakon yang persis anak patung ini berkata dia tidak mempunyai masalah dengan hal dokumentasi sepanjang bekerja di Malaysia seperti yang dilalui oleh rakan artis senegaranya.
“Saya menganggap ia perkara utama untuk membina kerjaya di sini. Selama ini juga tiada masalah kerana pihak pengurusan sudah membuat permit kerja untuk setahun.
“Lagi pula saya terikat dengan kontrak sebagai duta telefon Huawei di sini,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang lagi aktres dari Singapura, Nadiyah Shahab dilaporkan mempunyai kesulitan untuk memasuki negara ini kerana gagal menunjukkan permit kerja sewaktu melalui pusat pemeriksaan imigresen di Johor.
Nadiyah kemudiannya terpaksa berpatah balik ke negara itu dan terpaksa membiarkan tunangnya, Ben Ali pulang sendiri. – MYNEWSHUB.CC/EZ

