STUTTGART – Bintang tenis Russia, Maria Sharapova tersingkir di pusingan pertama Grand Prix Stuttgart, hari ini selepas pilihan keenam dari Perancis, Caroline Garcia bangkit mencatat kemenangan 3-6, 7-6 (8/6), 6-4.
“Ini adalah bukan keputusan yang saya inginkan, tetapi banyak yang boleh dipelajari saya daripada perlawanan ini,” kata Sharapova.
“Saya tidak bertanding untuk beberapa minggu, tetapi saya masih bermain dengan baik dan melakukan semua perkara yang betul.
“Saya melakukan servis dengan baik di set pertama tetapi beberapa kali melakukan kesilapan berganda pada waktu yang salah. Secara fizikalnya, saya berasa dalam keadaan terbaik.”
Juara lima kali Grand Slam itu yang memasuki usia 31 tahun minggu lalu, mempamerkan penguasaan tatkala dia hanya melakukan dua kesilapan dalam set pembukaan.
Tetapi Garcia, yang tidak pernah menumbangkan jaguh Russia itu dalam empat pertemuan terdahulu bangkit daripada ketinggalan 2-4 untuk mengikat aksi ke mata penentuan.
Tepat setahun yang lalu, di gelanggang sama, Sharapova kembali beraksi selepas menjalani hukuman penggantungan doping selama 15 bulan.
Bagaimanapun, nasibnya tidak sebaik tahun lalu – layak ke separuh akhir – apabila kehilangan mata pendahuluan di set ketiga sebelum tumpas.
Garcia seterusnya akan berdepan pemain kelayakan dari Ukraine, Marta Kostyuk yang mengatasi Antonia Lottner 6-4, 6-1.
Pemain berusia 15 tahun itu meneruskan perjuangan di pusingan kedua bersama pilihan kelima Karolina Pliskova yang menewaskan pemain Belanda, Kiki Bertens 6-2, 6-2. – AFP