KUALA LUMPUR – Pertubuhan pro-Pakatan Harapan menggesa pihak berkuasa melarang sebarang perkara berkaitan agama dan kaum dibangkitkan oleh mana-mana parti politik dalam kempen politik Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Desakan ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibuat oleh Jawatankuasa kerja Ratification of International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD-WG).
ICERD-WG dianggotai pertubuhan liberal Islamic Renaissance Front (IRF), Lawyers for Liberty, The Malaysian Bar Council, Projek Dialog, Pusat KOMAS, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Society for the Promotion of Human Rights (PROHAM) dan Tenaganita.
“Penggunaan kaum dan agama dalam kempen politik akan mengikis nilai sosial yang mengikat rakyat Malaysia.
“Kami menggesa semua ahli politik menghentikan politik perkauman dan agama dan meminta SPR dan PDRM mengambil tindakan menegur mana-mana individu atau parti yang ditemui menghasut kebencian dan ketakutan semasa PRU,” kata kenyataan itu hari ini.
Dakwa ICERD-WG, Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka dengan pelbagai kebudayaan, agama dan etnik, maka rakyat Malaysia harus menolak politik bangsa dan agama yang murah dan terpinggir.
“Kami menggesa semua rakyat Malaysia melaporkan politik kaum dan agama kepada pemantau dan seterusnya melaporkannya kepada institusi berkanun berkaitan,” kata kenyataan itu. – MYNEWSHUB.CC

