GEORGE TOWN – Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, di sini untuk mendapatkan persetujuan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Kenderaan rasmi yang membawa ketua menteri tiba di kediaman Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang itu kira-kira 8.30 pagi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus.
Lim dijangka mengadakan sidang akhbar berhubung pembubaran DUN Pulau Pinang di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada 1.45 tengah hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu (7 April) bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan menasihatkan semua ketua kerajaan negeri, kecuali Sarawak, menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan pembubaran DUN supaya pilihan raya dapat diselaras serentak di seluruh negara.
Tarikh akhir mandat DUN Pulau Pinang ialah pada 28 Jun.
Pulau Pinang diperintah pakatan rakyat sejak 2008 dan pada pilihan raya umum lepas DAP menang 19 daripada 40 kerusi DUN manakala PKR (10), PAS (satu) dan Barisan Nasional (10). Bagi kerusi Parlimen, DAP menguasai tujuh kerusi, PKR (tiga) dan BN (tiga). – BERNAMA