IPOH – Tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan dadah ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM127,681 dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar bandar raya Ipoh dan Batu Gajah pada Jumaat hingga Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak ACP R. Ravi Chandran berkata hasil maklumat dan risikan yang telah dijalankan, polis menahan ketiga-tiga lelaki berumur 55, 32 dan 41 tahun itu.
Beliau berkata tangkapan pertama dilakukan di sebuah rumah kedai di Batu Gajah Perdana dekat sini kira-kira pukul 10.40 malam pada Jumaat lepas dan hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai sembilan peket plastik dipercayai mengandungi 3.8 kilogram heroin bernilai RM116,340.
“Suspek yang merupakan seorang peniaga didapati positif dadah jenis methamphetamine, bagaimanapun suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Ravi Chandran berkata suspek ditahan reman seminggu bermula 14 April lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Beliau berkata bagi tangkapan kedua pada Sabtu lepas, pihaknya dengan bantuan anggota MPV polis menahan sebuah kereta jenis Proton Saga dan hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan 80 peket plastik disyaki serbuk ekstasi beranggaran berat 821 gram bernilai RM6,841.
Katanya, ujian air kencing terhadap suspek yang tidak bekerja itu mendapati negatif dadah dan dia direman seminggu bermula 15 April.
Dalam pada itu, Ravi Chandran berkata pihaknya menahan seorang lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah kedai di Canning Estate di sini pada pukul 1 pagi, Ahad lepas dan pemeriksaan ke atas suspek menemukan 30 keping foil aluminium, 300 biji pil jenis erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM4,500.
Katanya, suspek direman selama seminggu bermula 15 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.
Sementara itu, beliau berkata seramai 2,364 orang telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh Januari hingga 15 April berbanding 2,277 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 710 orang ditahan kerana terlibat dalam pengedaran dadah, 44 orang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) manakala 1,654 orang ditahan kerana memiliki dadah.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah sepanjang tempoh berkenaan ialah RM788,763 manakala nilai sitaan harta ialah sebanyak RM1.6 juta,” katanya. – BERNAMA