BENTONG – Dua puluh tiga penumpang termasuk 16 pelancong warga China cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 17.1 Jalan Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur, malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Yusri Abdullah Sani berkata kemalangan berlaku pada 7.24 malam ketika kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan turun daripada pusat peranginan tersebut.
“Sebaik tiba di tempat kejadian brek bas berkenaan dipercayai bermasalah dan melanggar kereta Honda yang berada di hadapannya sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan.
“Bagaimanapun punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata kesemua pelancong asing berkenaan melibatkan 14 wanita dan dua lelaki, seorang pemandu pelancong serta pemandu bas warga tempatan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Sementara lima termasuk pemandu kereta Honda berkenaan iaitu seorang lelaki serta empat penumpang wanita turut dihantar ke hospital yang sama.
Kesemua mangsa berusia 30 hingga 50-an itu dihantar ke hospital berkenaan dengan lapan ambulans milik bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan.
Operasi menyelamat dilakukan 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands dan APM Bentong. – BERNAMA