BANKRAP… Gergasi jualan mainan kanak-kanak terbesar Amerika Syarikat (AS), Toys ‘R’ Us Inc. yang telah muflis bersiap sedia menjual atau menutup kesemua 885 cawangan perniagaannya.
Ia sekali gus menyebabkan 33,000 staf hilang pekerjaan. Tindakan itu terpaksa diambil selepas pihak pengurusan gagal capai satu perjanjian untuk menstrukturkan semula hutang berjumlah AS$6.6 bilion (RM25.8 bilion).
Menurut sumber terdekat yang dipetik media AS, langkah dramatik tersebut perlu dibuat ekoran para peminjam memutuskan bahawa tiada sebarang rancangan untuk usaha penyusunan semula terhadap kewangan Toys ‘R’ Us.
Sebaliknya, syarikat berkenaan yang ditubuhkan pada 1948 itu perlu pulih dirinya secara semula jadi atau langsung menutup semua ratusan cawangannya bagi menjana kembali pulangan daripada hasil jualan barangan di kedai.
“Ini merupakan hari yang amat menyedihkan untuk kita semua termasuk jutaan kanak-kanak tempatan apabila kami yang berkhidmat sejak 70 tahun terpaksa mengambil langkah penutupan ini dengan perasaan berat hati.
“Saya berasa amat kecewa dengan keputusan itu tetapi malangnya, kami tidak memiliki sokongan kewangan bagi meneruskan operasi syarikat ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Toys ‘R’ Us, Dave Brandon dalam satu kenyataan.
Kebanyakan pembeli barangan mainan kini cenderung beralih kepada platform dalam talian seperti Amazon.com, manakala golongan kanak-kanak kelihatan lebih gemar memilih gajet elektronik berbanding mainan konvensional.
Toys ‘R’ Us berusaha untuk cuba membayar segala tunggakan hutang berbilion dolar AS itu dan sebelum ini telah menutup hampir satu perlima cawangannya dalam usaha menstrukturkan semula status kewangan syarikat.
Syarikat beribu pejabat di New Jersey itu dibebani hutang susulan pembelian ambil alih pada 2005 oleh konsortium termasuk Kumpulan KKR dan Bain Capital sebelum memfailkan notis bankrap pada 18 September tahun lalu.
Bermula selepas Perang Dunia Kedua di tengah kerancakan ekonomi AS, Toys ‘R’ Us turut memiliki hampir 1,000 kedai berlesen antarabangsa di 37 buah negara dengan lebih 65,000 pekerja. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA