LAZIMNYA para penyanyi popular tempatan masa kini pasti akan berkongsi klip rakaman nyanyian mereka buat halwa telinga peminat mereka di laman sosial.
Disebabkan sering memuat naik video nyanyian di laman Instagram, ada pula sesetengah netizen mula bersuara kerana bimbang jikalau nilai eksklusif pada suara Ernie Zakri bakal hilang.
Nama Ernie mula dikenali selepas dia memenangi kategori Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-32(AJL32) bersama dengan rakan duetnya, Syamel.

Namun, Ernie pastinya akan menerima apa jua pendapat dan pandangan yang diberikan oleh netizen kerana ia melibatkan keriernya sebagai seorang penyanyi.
“Semuanya terpulang kepada persepsi masing-masing… Sebenarnya, saya bukan buat selalu (kongsi video nyanyian).
“Semuanya ikut mood… Kalau saya minat sesebuah lagu, barulah dirakam dan dimuat naik di IG.
“Saya fikir tak salah kalau saya menyanyi di IG kerana ia platform terbaik untuk mendekati peminat,” katanya dipetik daripada BH Online.

Bagaimanapun, Ernie tetap beranggapan bahawa terdapat sesetengah peminatnya yang tidak berpeluang untuk bertemu dengannya di mana-mana persembahan.
Jadi disebabkan itu, penyanyi kelahiran Bintang RTM 2009 itu mengambil pendekatan dengan cara memuatnaik video nyanyiannya di media sosial.
Popularitinya bertambah naik ketika AJL32 pada Februari lalu yang telah menampilkan sisi lain Ernie selepas dia berjaya mengalahkan penyanyi hebat yang lain.

Malah, setiap nyanyian yang disampaikan oleh Ernie pasti mendapat pujian daripada netizen lebih-lebih lagi ketika dia menyanyikan semula lagu milik Sufian Suhaimi, Di Matamu baru-baru ini.
Lagu berkenaan telah mendapat perhatian ramai peminat kerana nyanyiannya yang penuh dengan emosi itu.
https://www.instagram.com/p/Bf-0P4OFuJX/?taken-by=erniezakri
“Saya tidak niat apa-apa pun… Sebaliknya, saya bersyukur dan terharu kalau ada penyanyi lain yang memuji.
“Setiap kali menyanyikan lagu orang lain, saya bukan nak tunjuk diri ini bagus.
“Niat saya adalah untuk beritahu netizen saya suka menyanyi. Selain itu, ia menjadi strategi saya untuk orang lebih mengenali diri ini,” tambahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH

