MARAN – Ketua jurulatih Felda United, B. Satiananthan berasa kagum dengan aksi bertenaga dipamerkan pasukan Kuantan FA meskipun skuad kendaliannya berjaya menundukkan mereka 1-0 dalam perlawanan Liga Premier di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini malam tadi.
Satiananthan berkata kesungguhan Kuantan FA perlu diberi pengiktirafan kerana berusaha sebaik mungkin untuk tampil cemerlang walaupun tidak dibayar gaji selama dua hingga tiga bulan.
“Saya sudah beritahu pemain supaya tidak ambil mudah perlawanan ini kerana pihak lawan sudah tentu mahu bermain bersungguh-sungguh demi menjaga maruah mereka walaupun tidak dibayar gaji.
“Mereka tidak tunjuk perasaan marah atau beraksi longlai, malah sebaliknya bermain cemerlang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Dalam perlawanan itu, pemain pertahanan import Brazil, Thiago Junior Aquino menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21 lantas membolehkan Felda United mencatat kemenangan kelima yang juga semua perlawanan liga dilaluinya setakat ini.
Kemenangan itu juga memastikan skuad The Fighters terus berada di puncak Liga Perdana dengan mengumpul 15 mata.
Satianathan berkata, selain kesungguhan pemain Marcerra Kuantan FA, pergerakan anak buahnya yang perlahan membantutkan usaha mereka meledak jaringan besar.
“Kita tidak bermain mudah tapi bermain susah sehingga setiap gerakan berjaya dipatahkan lawan, bukan kerana ketiadaan Gilberto Fortunato tetapi pemain kita tidak berfungsi seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Marcerra Kuantan FA, Ismail Zakaria, berkata dia telah menasihatkan pemainnya agar tidak lemah semangat menentang pasukan kuat seperti Felda United walaupun mereka dihimpit masalah pembayaran gaji.
“Saya beritahu ini kerjaya mereka dan jangan tunjukkan mereka lemah longlai akibat masalah gaji tidak dibayar, sebaliknya pamerkan permainan bagus dengan mana-mana pasukan kuat.
“Sebenarnya taktikal kita agak menjadi seperti perancangan, namun penyudah masih tumpul,” katanya. – BERNAMA

