Sunday, April 21, 2024

Creating liberating content

RUU Antiberita: Tak Wujud...

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said...

Rekod Jaringan ‘Supermokh’ Dapat...

DI SEBALIK kejayaan dua bintang bola sepak terkemuka dunia buat masa ini, Cristiano...

JPM Nafi Maklumat Pengisytiharan...

PUTRAJAYA : Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan maklumat yang tular dalam media sosial...

Calon ‘Meninggal’ Digalakkan Memohon...

SEKADAR perkongsian dan pengajaran kepada rakyat Malaysia, inilah akibatnya kalau tidak menguasai Bahasa...

NHRAP: Memelihara Hak Asasi Manusia – PM

PUTRAJAYA – Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang dilancarkan hari ini adalah bukti komitmen Malaysia dalam memastikan hak asasi manusia di negara ini terjamin dan terpelihara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pelan itu bakal menjadi landasan utuh dalam mentransformasikan usaha kerajaan bagi memperkukuh hak asasi manusia di negara ini.

Menurutnya ia juga selari dengan agenda dan visi Transformasi Nasional 2050 (TN50), melalui pendekatan bawah-ke atas, yang mengumpulkan pandangan, maklum balas dan aspirasi rakyat, dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya.

“Lebih membanggakan lagi, NHRAP yang dibangunkan ini merupakan suatu pelan yang komprehensif, dengan mengambil kira aspirasi rakyat dan berdasarkan acuan Malaysia,” katanya semasa melancarkan pelan itu, di Perdana Putra, di sini hari ini.

Najib berkata dokumen NHRAP, yang dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa dengan merujuk garis panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menggariskan lima teras utama.

Najib berkata teras pertama ialah hak sivil dan politik, contohnya melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan pembentukan Akta Perhimpunan Aman 2012 sepanjang tempoh kepimpinannya.

“Ternyata sekali apa juga kebimbangan kita seperti berlaku di masa-masa yang lampau seperti Ops Lalang, tidak akan berulang lagi,” katanya.

Tambahnya, tindakan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 juga mendapat pujian Kesatuan Eropah.

Perdana menteri berkatateras kedua NHRAP ialah hak ekonomi, sosial dan kebudayaan, termasuk hak keperluan asas, hak mendapat pendidikan dan hak amalan kebudayaan.

Teras ketiga ialah hak golongan rentan yang memfokuskan kepada lima golongan iaitu wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas dan pelarian.

“Misalnya kerajaan memperkenalkan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang seterusnya membawa kepada penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang bukan sahaja pertama di Malaysia bahkan pertama seumpamanya di Asia Tenggara,” katanya.

Najib berkata teras keempat ialah hak asasi manusia dalam kalangan Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Peribumi Sarawak.

Teras kelima ialah kewajiban antarabangsa yang menyenaraikan komitmen Malaysia dalam instrumen-instrumen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia.


Susulan pelancaran itu, Najib turut mengumumkan tiga mekanisme bagi memulakan NHRAP termasuk mewujudkan aplikasi telefon pintar bagi mendapatkan maklum balas rakyat terhadap pelaksanaan NHRAP.

“Dalam erti kata lain, kemudahan ini akan menggalakkan penyertaan awam yang lebih berkesan dalam memastikan pelaksanaan dan penambahbaikan NHRAP dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) yang bertanggungjawab bagi memantau pelaksanaan NHRAP.

Kerajaan juga bersetuju melantik pihak berkecuali yang bersesuaian, antaranya dari kalangan organisasi masyarakat sivil dan ahli akademik, bagi mengumpul serta menganalisis maklum balas awam yang diterima terhadap pelaksanaan NHRAP, katanya.

Najib juga menyuarakan keyakinan NHRAP berupaya melonjak prestasi dan imej negara khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi, tadbir urus cekap dan berwibawa supaya mampu mencapai status Negara Maju Berpendapatan Tinggi dan berada pada kedudukan 20 negara terbaik lagi termaju di dunia menjelang tahun 2050.

“Malah bila saya sebut negara terbaik pada tahun 2050, bukan sahaja dari segi pendapatan per kapita semata-mata tetapi negara yang lebih saksama, prihatin dan Malaysia yang lebih baik hati. Inilah visi saya kepada Malaysia,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam sidang media selepas majlis itu berkata orang ramai boleh mendapatkan akses kepada dokumen NHRAP melalui aplikasi telefon pintar tersebut yang boleh dimuat turun mulai April.

Mengenai HLC, katanya , mesyuarat pertama hanya akan diadakan selepas perdana menteri melantik pengerusi bagi jawatankuasa tersebut.

“Saya harap secepat mungkin (lantik pengerusi). Pelan ini akan diserahkan kepada Datuk Paul Low Seng Kuan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang akan melaksanakan NHRAP,” kata Azalina. – BERNAMA

Kategori