NEELOFA atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor, 29, enggan mengulas berita yang mendakwa dia dan kedua orang tuanya merancang untuk berjumpa Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, minggu ini.
“Saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini. Saya juga sudah tutup buku.
“Saya tidak mahu cakap sama ada betul atau salah, jadi atau tidak saya berjumpa dengan Mufti seperti yang tersebar itu kerana ingin meletakkan titik noktah pada semua ini,” kata pelakon dan pengacara popular itu kepada Harian Metro.
Neelofa mengambil langkah untuk lebih fokus dan mengakhiri kontroversi tersebut.
Dalam masa yang sama dia akan berlepas ke Taiwan minggu ini atas urusan pengambaran sebuah jenama telefon selama empat hari di sana.
Neelofa juga enggan mengulas tentang babak mesra lakonannya bersama pelakon Zul Ariffin ketika penggambaran drama bersiri Ti Amor Sweetheart 100 Hari yang tular dan mendapat komen negatif netizen.
Sudah seminggu isu kontroversi majlis sambutan hari jadi Neelofa dan pelancaran koleksi terbaru Naelofar Hijab, Be Lofa di pusat hiburan di Kuala Lumpur yang dikecam netizen kerana dikatakan tidak bertepatan dengan tema Islam.
Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk beberapa Mufti dan pertubuhan Islam menyuarakan pandangan dan nasihat kepada pelakon terbabit dengan harapan Neelofa menyedari perbuatan yang dilakukannya adalah berlawanan dengan kehendak Islam. – MYNEWSHUB.CC/MIZE