KOTA KINABALU – Abdul Rahman Dahlan memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah banyak membantu orang Cina di negara ini berbanding dengan pemimpin terdahulunya atas kasih sayang dan penghargaannya terhadap masyarakat bangsa tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Najib akan terus komited membantu orang Cina dalam apa jua cara yang beliau mampu.
“Dia tidak pernah memanggil orang Cina sebagai ‘pendatang’ atau memperlekehkan sumbangan mereka kepada negara,” kata Rahman, yang juga pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN).
“Daripada semua perdana menteri yang kita ada, Najib telah melakukan lebih banyak untuk komuniti Cina berbanding kesemua PM sebelum ini,” kata ahli Parlimen Kota Belud itu lagi dalam ucapannya pada majlis Tahun Baru Cina di Luyang di sini, semalam.
Rahman juga berkata Najib tidak pernah menolak apa-apa dasar yang dicadangkan kepadanya yang akan memberi manfaat kepada kaum Cina di Malaysia.
Beliau berkata apabila MCA atau Gerakan menolak cadangan dasar yang mereka anggap tidak memihak kepada masyarakat, Najib segera membatalkannya.
“Saya boleh menjamin (perkara ini) kerana saya berada dalam mesyuarat kabinet. Saya tahu,” katanya, sambil menambah bahawa di peringkat negeri Sabah, Ketua Menteri, Musa Aman juga tidak pernah melayan kaum Cina secara teruk.
Merujuk kepada kontroversi baru-baru ini mengenai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz menghina ahli perniagaan jutawan Robert Kuok atas tuduhan bahawa beliau membiayai DAP, kata Rahman, perhatian patut diberikan kepada apa yang dikatakan oleh Najib mengenai isu itu dan tidak menghiraukan komen yang dibuat oleh pihak-pihak yang lain.
“Saya ingin memberi nasihat kepada rakyat Malaysia untuk mendengar pandangan perdana menteri kerana PM kita ini suka kepada komuniti Cina dan dia akan membantu anda dalam apa jua cara,” kata Rahman. – MYNEWSHUB.CC

