IPOH – Mayat seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti identiti ditemukan terapung dalam longkang berdekatan kawasan perindustrian Bercham di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata mayat tersebut dijumpai orang ramai kira-kira 12.10 tengah hari.
Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata mayat tersebut ditemui dalam longkang yang berair dengan kedalaman kira-kira tiga kaki, dan hampir busuk.
“Pemeriksaan di sekeliling lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang senjata atau objek yang boleh disabitkan dengan kematian si mati,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Ali berkata setakat ini, tiada laporan berkaitan orang hilang di kawasan Bercham.
Mayat berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – BERNAMA

