BATU PAHAT – Hasrat pembangkang meletakkan beberapa calon wanita di negeri ini adalah sekadar gimik yang hanya muncul pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU), selain meniru strategi Barisan Nasional (BN).
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad berkata BN sudah lama mengakui kekuatan golongan hawa dengan meletakkan ramai wanita bertanding pada PRU yang lepas.
“Sejak dahulu, kita (BN) tekankan penyertaan wanita sebanyak 30 peratus dalam politik. Sebelum mereka (pembangkang) meuar-uarkan tentang ini pun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa bagi jawatan senator pun, beliau akan pastikan 30 peratus daripadanya adalah wanita.
“Saya percaya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (Ketua Pergerakan Wanita UMNO) telah berjumpa Perdana Menteri untuk membincangkan perkara ini selaku Ketua Wanita Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Program Ceria ke Sekolah Parlimen Parit Sulong di Sekolah Agama Sri Medan di sini, hari ini.
Terdahulu, Noraini menyampaikan sumbangan baju seragam sekolah dan peralatan sekolah kepada 200 kanak-kanak kurang berkemampuan dari 33 sekolah agama sekitar kawasan Parlimen berkenaan.
Noraini, yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, berkata demikian semasa mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR Pusat Zuraida Kamaruddin semalam bahawa beberapa calon wanita akan bertanding pada PRU akan datang. – BERNAMA