MULUT orang kita tak boleh nak tutup macam mulut tempayan, jadi apa jua yang keluar dari mulut masyarakat ‘bawang’, kita hanya mampu untuk tutup mata sahaja dan teruskan hidup seperti biasa.
Baca: 2 Impian Tercapai, Ruhainies Mahu Terus Berjaya
Kata orang, dia berjaya kerana bantuan individu lain. Tapi bagi pelakon Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, apa yang dimiliknya kini merupakan hasil usaha dia selama menjadi pelakon.
“Saya tidak boleh tutup mulut orang, mereka tidak tahu ada masa dalam sehari saya perlu bergerak ke sana sini memenuhi komitmen. Memang letih, tetapi saya gigih diri demi cari rezeki,” katanya dipetik daripada BH Online.
Baginya, segala isu negatif yang melanda dirinya membuatkan dia lebih dewasa dan tidak mudah melatah dengan perkara itu.
Malah, siapa yang rapat dengan dirinya sahaja yang tahu betapa gigihnya dia berusaha bekerja keras bagi mendapatkan aset yang dimilikinya kini.
Baru-baru ini, pelakon drama Menantu Ting-Tong itu telah berjaya mempunyai dua aset terbesar dalam dirinya iaitu sebuah rumah kondominium dan sebiji kereta Mercedes bagi kegunaan keluarganya.
“Saya bekerja keras sejak mula berlakon, malah cuti juga boleh dikira dengan jari kerana saya mempunyai sasaran dalam hidup.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras, saya dapat apa yang saya mahukan. Mungkin tidak mewah, tetapi saya berbangga dapat membahagiakan orang tersayang,” tambahnya lagi.
Bagaimanapun, adik kepada pelakon Risteena Munim itu tetap berasa bersyukur kerana sepanjang penglibatannya di dalam dunia seni, dia tidak pernah diserang sakit teruk sehingga mengganggu proses kerjayanya.
Jadi itu telah membuatkan dia lebih bersemangat untuk mengumpul wang hasil berlakon ketika ini.
Namun, jika sekadar demam atau kurang sihat itu, ia merupakan perkara biasa tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak bekerja.
Oleh itu, dia sentiasa menjaga kesihatan bagi memudahkan semua pihak produksi menjalankan kerja mereka tanpa sebarang gangguan.
“Alhamdulillah, setakat ini kesihatan saya baik. Bukan langsung tidak pernah sakit, tetapi saya tidak manjakan diri.
“Selagi tidak memudaratkan diri, saya tetap bekerja. Saya bimbang jika memanjakan diri, perjalanan produksi terganggu,” ujarnya.
Empat tahun melakar nama sebagai pelakon merupakan tempoh yang cukup selesa bagi sesetengah orang.
Tetapi bagi gadis kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu, dia masih tidak berpuas hati dengan apa yang disampaikan olehnya didalam setiap karya.
Selain itu, dia juga perlu bersaing dengan ramai pelakon baharu yang muncul bagaikan cendawan selepas hujan.
Disebabkan itu, dia menjadi lebih bersemangat dalam melaksanakan tugas serta menjadikan pendatang baharu sebagai persaingan sihat untuknya.
“Selagi diperlukan, saya akan bekerja keras. Orang luar hanya melihat dari sudut negatif, tetapi saya tidak kisah. Mereka begitu kerana tidak kenal siapa saya yang sebenar,” kata gadis kecil molek berusia 26 tahun itu lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH