KUALA LUMPUR : Pelakon kontroversi, Aliff Aziz lega apabila prosiding berkaitan kes khalwat pada 9 Mac lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, berjalan dengan lancar, pagi tadi.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ditemui di luar dewan bicara, Aliff berkata, dia akan terus memberikan komitmen dan kerjasama kepada pihak mahkamah untuk prosiding seterusnya.
“Alhamdulillah, apa yang harus dijalankan hari ini berjalan dengan lancar dan seperti yang dibicarakan di mahkamah, prosiding ini akan mengambil tempoh dan bersambung pada tarikh lain.
“Saya lega semuanya berjalan lancar dan mohon semua mendoakan prosiding ini berjalan dengan baik.
“Selepas pengakuan dibuat, saya rasa apa sahaja akan datang membabitkan kes ini pastinya kami akan memberikan komitmen,” katanya.
Dalam pada itu, Aliff menafikan hadir bersama Ruhainies, sebaliknya mereka menaiki kereta berasingan.
“Waktu sampai ke mahkamah adalah sama dan kami parking dekat-dekat,” katanya.
Sementara itu, Aliff menjelaskan sebarang hantaran dimuat naik dalam media sosial bukanlah sesuatu yang perlu dipertikaikan.
“Saya dan Ruhainies harus melalui prosedur mahkamah berkaitan kes ini, jadi kadang-kala bila kami ‘repost story’, orang tafsirkan kami berbalas ‘story’ dan sebagainya.
“Bagi saya, tiada apa-apa yang boleh halang untuk kami berhubung.
“Kami tidak bergaduh. Sebab saya rasa apa yang orang fikir sepatutnya berlaku, di mana ada kes belum selesai jadi hubungan keruh, tidak bercakap dan bermasam muka.
“Bagi saya, buat masa sekarang, tiada apa-apa alasan untuk saya dan Ruhainies bermasam muka atau bergaduh.
“Apa sahaja hantaran dibuat berkaitan dengan kerja atau sebagainya adalah ‘harmless’,” katanya.
Pagi tadi, Aliff dan Ruhainies yang diwakili peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim, Abu Suffian Abu Yaziz.
Prosiding akan diteruskan dengan kehadiran saksi daripada pihak tertuduh.
Mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh seterusnya dan bon jaminan dilanjutkan sehingga tarikh tersebut.
Hadi berkata, prosiding akan bersambung pada 17 Oktober hadapan.
“Hari ini adalah sebutan di hadapan hakim untuk dibacakan pertuduhan kali kedua. Sebelum ini, pertuduhan sudah dibaca di Mahkamah Rendah Syariah, tapi mahkamah tidak boleh rekod dan tiada pengakuan bersalah daripada Aliff dan Ruhainies.
“Jadi, dalam bidang kuasa mahkamah mahu rekodkan pengakuan dan pertuduhan dibaca di hadapan Aliff dan Ruhainies.
“Hari ini juga mahkamah merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada dua-dua pihak. Jadi, kes ini akan dibicarakan,” katanya.
Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat mereka yang dilapor berlaku di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies masing-masing dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang, pada hari sama.
Sebelum ini, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.
Sumber dilapor berkata, tangkapan dibuat JAWI adalah berdasarkan maklumat awam. Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu, dilapor ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.
Rentetan insiden itu, Aliff dan Ruhainies masing-masing tampil memberi penjelasan menerusi hantaran Instagram (IG) berhubung kontroversi tercetus.
Aliff dilapor menjelaskan tiada apa yang berlaku antara dirinya dan Ruhainies ketika diserbu JAWI di kondominium milik aktres berkenaan.
Ruhainies turut menjelaskan kronologi kejadian selain berharap Aliff dan bekas isterinya, Bella Astillah tidak berpisah.
Aliff dan bekas isterinya, Bella yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, bercerai talak satu pada 13 Jun lalu.
Mereka dikurniakan dua anak iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
-Berita Harian