KUALA PILAH – Kesusahan hidup yang dialami Sufiza Majid, 18, menjadi faktor utama mendorong pelajar Orang Asli ini untuk muncul antara pelajar cemerlang dengan meraih keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.
Dengan pendapatan keluarga sekitar RM500 sebulan, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu nekad untuk berdikari seawal usia 13 tahun dengan tinggal di asrama Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (SMSTJ) memandangkan jarak sekolah daripada kediamannya di Kampung Orang Asli Guntur, Batu Kikir sejauh 30 kilometer.
“Saya tidak mahu menyusahkan keluarga, jadi mahu tidak mahu saya terpaksa belajar berdikari dan saya bersyukur apabila usaha dan pengorbanan saya berbaloi dengan keputusan 9A hari ini. Saya amat tidak sangka.
“Keputusan ini juga adalah hasil daripada kesusahan keluarga di mana ayah saya hanya bekerja kampung manakala mak pula suri rumah yang saya jadikan pembakar semangat untuk saya berjaya.
“Keluarga saya ramai dan saya tak pernah rasa kesenangan seperti yang dinikmati keluarga lain, maka melalui pelajaran saya nak buktikan kepada semua bahawa Orang Asli juga boleh berjaya dan senang seperti mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sufiza meraih 9A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Moral, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
Ketika diumumkan Sufiza antara pelajar Orang Asli cemerlang sekolah berkenaan dengan keputusan 9A, kedua ibu bapanya yang hadir sama tidak dapat membendung air mata kegembiraan.
Majid Suhut, 56, berkata beliau sentiasa mengingatkan anaknya bahawa anak Orang Asli juga mampu menempa kejayaan walaupun hidup dalam serba kekurangan.
“Saya tidak dapat luah dalam perkataan bangganya saya dengan Sufiza… Saya harap dia terus berjaya mencapai impiannya,” katanya dalam nada tersekat-sekat.
Sementara itu, Pengetua SMSTJ, Aini Md Jadi berkata Sufiza merupakan antara pelajar yang sangat cerdik dan menjadi idola kepada pelajar Orang Asli yang lain kerana kesungguhannya dalam pelajaran.
Aini berkata, selain Sufiza, sekolah berkenaan turut merekodkan seramai 22 orang pelajar memperoleh keputusan cemerlang dengan meraih semua A dalam kesemua subjek SPM yang diduduki tahun lepas. – BERNAMA

