JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berharap Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, yang dijangka beroperasi 24 jam menjelang tahun depan, dapat membendung aktiviti penyeludupan di negara ini.
Beliau berkata buat masa ini, kompleks itu beroperasi 12 jam dan tempoh waktu beroperasi 24 jam itu akan membantu pihak berkuasa memantau aktiviti-aktiviti jenayah seperti penyeludupan.
“Sebenarnya aktitviti penyeludupan ini menjadi masalah kepada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebab penyeludup terutamanya penyeludup dadah sentiasa menggunakan pelbagai taktik untuk menyeludup dadah ke negara kita.
“Dengan pembukaan ICQS Bukit Kayu Hitam yang dijangka beroperasi 24 jam, penguatkuasaan akan dapat dipertingkatkan lagi agar aktiviti-aktiviti (penyeludupan) ini dapat dibendung selama 24 jam,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Pulai, di sini hari ini.
Kerjasama dengan Thailand dari segi aktiviti penguatkuasaan juga turut dipertingkatkan dalam usaha kedua-dua kerajaan membendung aktiviti-aktiviti penyeludupan, katanya ketika diminta mengulas rancangan kerajaan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan membanteras aktiviti penyeludupan susulan penangkapan dua lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat cuba menyeludup dadah masuk ke negara ini, empat hari lepas.
Pada 28 Mac, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas penemuan 700 kilogram dadah jenis ‘Ice’ dari sebuah lori membawa muatan nanas dan tembikai di Chumphon, selatan Thailand.
Mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Nur Jazlan berkata undang-undang itu perlu supaya dapat mengawal tindakan sesetengah pihak menyebar berita palsu.
Beliau berkata undang-undang tersebut juga penting kerana ia memudahkan kerajaan memantau tindak tanduk segelintir pengguna yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu menerusi media sosial.
“RUU ini bukan sahaja dibuat oleh Malaysia secara berasingan. Sekarang ini Singapura sedang membahaskan undang-undang yang sama. Britain pun sudah ada cadangan untuk membuat undang-undang yang sama.
“Di Amerika Syarikat dan Jerman pun sudah ada undang-undang yang sama tapi lain konteks tetapi tujuannya untuk mengawal perkara-perkara yang tidak baik dan boleh mencetuskan perbalahan yang akhirnya boleh menjejaskan keharmonian kaum dan keselamatan negara,” kata beliau.
Justeru itu, beliau berharap agar rakyat tidak melihat pelaksanaan undang-undang itu sebagai sesuatu yang membebankan mereka.
“Siapa yang salah, dia yang akan didakwa dan setiap dakwaan tersebut akan dibawa ke mahkamah untuk didengar dan dibuat keputusan oleh mahkamah, bukan kerajaan yang menentukannya. Mahkamah yang akan menentukan kes-kes mana yang terbukti menjadi kes penyebaran berita palsu,” kata Nur Jazlan. – BERNAMA