PETALING JAYA- Pengarah dan pelakon Datuk Farid Kamil sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu berhubung kononnya tiga rakan artis meletakkan dadah di dalam minumannya.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Farid Kamil Zahari itu mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas tuduhan memberi keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan maklumat tidak benar.
Di mana ia boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.
Memetik beberapa sumber, kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Taman Tun Ismail, Kuala Lumpur sekitar jam 5.54 petang pada 31 Januari lalu.
Sehubungan itu, dakwaan kes tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Difahamkan, Farid tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 10 pagi ditemani adiknya, Fadzil Zahari dan kes itu disebut jam 11.30 pagi.
Mahkamah membenarkan Farid diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei depan untuk serahan dokumen.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee manakala tertuduh diwakili Faizul Mohd Nasir.

Terdahulu, Farid dalam satu sidang media yang berlangsung di The Loft Event Space, Setia Alam mendedahkan gambar dua lelaki yang didakwa individu sebenar memasukkan dadah jenis ganja ke dalam minuman.
Pada masa sama, Farid turut menafikan dua rakan artis yang tampil memberi keterangan berhubung kes tersebut adalah individu sebenar yang digambarkannya kepada polis.
Sekadar mengimbas semula, sebelum ini Farid pernah didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu. – MYNEWSHUB.CC/AM

