KUALA LUMPUR – Duta Besar Turki ke Malaysia yang baharu, Dr. Merve Safa Kavakci, bukan sekadar ikon yang lantang memperjuang hak asasi manusia dan pemerkasaan wanita.
Malah wanita ini juga amat berkelayakan kerana beliau adalah bekas pensyarah Universiti George Washington dan Universiti Howard di Amerika Syarikat.
Oleh itu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan meminta Kavakci mempertingkat kolaborasi akademik antara kedua-dua negara, bukan sekadar menimba pengalaman Malaysia tetapi menyumbang kepakaran beliau dalam bidang tersebut.
“Pendidikan sudah pasti akan menjadi (projek kegemaran) saya secara peribadi dan sebagai duta Turki di sini. Ia merupakan satu keghairahan buat diri saya.
“Untuk membawa pendidikan ke tahap yang lebih tinggi, kami sedang meneliti kekuatan kedua-dua negara dan berkongsi serta bertukar-tukar kekuatan itu, malah akan mewujudkan projek yang boleh kita usahakan bersama,” katanya kepada Bernama ketika berkunjung ke ibu pejabat agensi berita itu di sini pada Khamis.
Kavakci, yang telah berhubung dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan beberapa universiti di sini bagi merangsang kolaborasi dalam bidang pendidikan, berkata kejayaan projek dalam sektor pendidikan rendah akan dibentang kepada kerajaan Turki tidak lama lagi.
Teruja dengan pendekatan inovatif dan integratif universiti di Malaysia, Turki mempertingkat usaha kolaborasinya dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).
Kavakci berkata ketika ini, Malaysia dan Turki menjalankan projek bersama dalam pendidikan sains (STEM), kajian jantina, teknologi pembinaan serta program pertukaran pelajar dan ahli akademik dengan pelbagai universiti.
Duta berkenaan telah mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, serta pengurusan tertinggi agensi berita nasional itu.
Dalam pertemuan itu, Kavakci mengetengahkan aspirasi beliau untuk merapatkan jurang antara masyarakat di Turki dan Malaysia menerusi nilai serta cabaran bersama yang dihadapi oleh kedua-dua negara seperti kemajuan ekonomi dan memerangi keganasan.
“Saya berharap untuk meneruskan kolaborasi, kesaling bergantungan serta pertukaran dalam sektor perdagangan, ekonomi dan isu sosiobudaya. Terdapat banyak sumber di Turki mahupun Malaysia yang kita boleh ketengahkan dalam pelbagai perusahaan demi kesejahteraan masyarakat Malaysia dan Turki.”
Kavakci berkata Turki sentiasa menjadikan Malaysia sebagai inspirasi susulan kisah kejayaannya dalam memiliki sebuah negara yang aman meskipun memiliki masyarakat berbilang agama dan kaum, sambil menambah bahawa ia merupakan satu pelajaran yang amat penting dan tidak ternilai bagi seluruh dunia.
“Saya melihat Malaysia sebagai contoh unggul kejayaan dalam bidang tersebut,” katanya. – BERNAMA