KAJANG – Dewan kecil di sebuah surau di Kampung Batu 13, di sini bertukar menjadi Mahkamah Tinggi Syariah hari ini bagi menjalankan perbicaraan kes tuntutan tanah wakaf.
Ketua Hakim Syarie Selangor Mohammad Adib Husain berkata ia berikutan dua saksi plaintif yang akan memberi keterangan adalah warga emas yang dalam keadaan uzur.
Beliau berkata bagi menjalankan perbicaraan itu, pihaknya mengambil inisiatif membawa Kit Mahkamah Bergerak (MCK) iaitu set kelengkapan bagi perbicaraan luar dewan bicara ke Dewan Wanita Surau Ibtidaiyah, Kampung Batu 13, Jalan Cheras, Kajang.
“Ini merupakan kali pertama perbicaraan diadakan di surau. Sebelum ini diadakan di dewan yang besar dan di rumah orang.
Dari segi prosiding, susun aturnya tidaklah seperti di mahkamah, cuma ia sesuai untuk dijalankan perbicaraan dengan kelengkapan yang ada, yang penting tidak menyusahkan pihak-pihak yang tidak mampu hadir ke mahkamah kerana uzur, sakit atau cacat,” katanya ketika ditemui pemberita di surau berkenaan.
Perbicaraan hari ini adalah berhubung pengesahan tapak wakaf Surau Ibtidaiyah yang dipohon Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai plaintif terhadap 10 individu selaku defendan yang merupakan waris kepada pemilik tapak itu.
Dua saksi plaintif yang memberi keterangan hari ini adalah Anuar Misbah Husin, 76, dan Zainuddin Abd Rahim, 84.
Dalam prosiding itu, Pegawai Syariah MAIS, Fahimi Mahamad Madani mewakili MAIS manakala peguam Sa’adiah Din bertindak bagi pihak defendan.
Mengulas lanjut mengenai MCK, Mohammad Adib berkata sejak ia diperkenalkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) awal tahun lepas, ia telah banyak menyelesaikan kes-kes syariah termasuk kes wali hakim, permohonan poligami, permohonan pengesahan nikah dan pengesahan wakaf termasuk membabitkan masyarakat Orang Asli.
MCK mengandungi set peralatan lengkap yang berfungsi sebagai meja dan kerusi bagi Hakim Syarie, Pembantu Syariah dan Setiausaha Hakim, ruang penyimpanan fail, tempat meletakkan komputer riba dan alat tulis, serta mengandungi soket wayar elektrik dan peralatan audio.
Katanya MCK meningkatkan kepuasan dan kepercayaan orang awam terhadap perkhidmatan Mahkamah Syariah Selangor yang mesra rakyat.
Mengikut statistik, bermula 20 Jan 2017 sehingga hari ini, MCK telah digunakan di tujuh lokasi termasuk di perkampungan Orang Asli Sg Lalang, Semenyih; Shah Alam; Sabak Bernam dan Kuala Langat bagi menyelesaikan pelbagai kes syariah. – BERNAMA

