NAMA primadona era 70-an Uji Rashid tiba-tiba menjadi sebutan ramai selepas insiden dirinya diugut usir keluar dari rumah sewanya di Taman Dagang, Ampang.
Baca: Lewat Bayar Sewa, Uji Sedih Berita Kena Usir Tersebar
Juga: Penyakit Misteri Buat Cico Buta Huruf, Tak Boleh Kerja
Bagaimanapun, pelantun lagu Semakin Hari Semakin Sayang itu berasa agak terkilan kerana anaknya, Cico Harahap dilemparkan bermacam komen negatif daripada netizen.
“Aib itu memang ada dan siapa yang tak malu. Selepas macam-macam berita mengenai saya dan Cico tersebar, saya rasa tak nak keluar jumpa sesiapa pun.
“Rasa macam nak lari daripada semua orang. Waktu itu, kalau tuhan tunjuk keajaiban nak tarik saya pergi, saya akan pergi,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anaknya dituduh buta dan bisu? Setelah dia berhempas pulas menjaga anak tunggalnya itu seorang diri, ada pula yang sesuka hati menyebarkan fitnah begitu.
Namun, Uji atau nama sebenarnya Fuziah Haroun Al Rashid tetap reda dengan segala ujian yang dilaluinya.
Malah dia turut menganggap bahawa apa yang terjadi ini merupakan salah satu tanda daripada Tuhan baginya untuk menebus segala dosa dan kesalahnnya pada masa lalu.
“Saya terima sebagai satu ujian dan sedar kalau ini cara tuhan tarik dan menyuruh tebus salah serta dosa kita, Dia beri kita satu hikmah.
“Setiap hari, setiap masa saya minta doa pada Tuhan kalau ini anak yang saya kandungkan tolonglah pulihkannya,” tambahnya lagi.
Dua tahun penantian penuh kesabaran membuahkan hasil walaupun pada mulanya Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin hanya terlantar sakit sehingga membataskan pergerakannya dan turut tidak mampu untuk bercakap.
“Cuma percakapan dia masih belum lancar tapi dia boleh mengucap dan melaungkan azan selepas beberapa kali belajar,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/AH