SEKITAR hujung tahun lalu, penyanyi muda, As’ad Motawh menerima kecaman hebat daripada netizen selepas rakaman video dia menyanyi bersama kumpulan Armada di Indonesia yang dikatakan sumbang.
Ekoran kegagalannya menyanyi dengan baik di program tersebut, As’ad menjadi bahan lawak para netizen dengan video tersebut kemudiannya tular di laman sosial.
Keadaan itu diburukkan lagi apabila terdapat sesetengah netizen yang mengatakan bahawa As’ad sebenarnya telah memalukan Malaysia memandangkan program tersebut bersiaran secara langsung di negara jiran.

Jelas As’ad, kecaman yang diterima daripada para netizen itu berkenaan nyanyiannya yang sumbang sebelum ini membuatkan dirinya menjadi lebih matang dan tidak mudah melatah.
Kini, dia lebih cenderung untuk mengambil sikap tidak ambil pusing akan segala kritikan negatif yang dilemparkan masyarakat.
“Sekarang ini, saya lebih matang dan tak mahu terlalu memikirkan tentang kritikan orang. Apa yang baik kita ambil, yang buruk kita abaikan.
“Apa sahaja kesilapan kita buat, pasti ada yang akan bercakap, jadi tak boleh nak tutup mulut semua orang.
“Kalau teguran membina saya terima dengan hati terbuka, untuk komen yang menghentam dan menjatuhkan rasanya tak perlu layanlah,” katanya memetik mStar Online.

Ketika kejadian tersebut berlaku, As’ad dijemput oleh program Dahsyat untuk ditemuramah dan di pengujung rancangan, As’ad dipelawa kumpulan Armada untuk menyanyikan bersama lagu hit mereka Asal Kau Bahagia.
Meletakkan perkara itu di belakangnya, penyanyi berusia 17 tahun itu kini nyata mempunyai peluang untuk menebus imejnya di Indonesia apabila bakal memulakan kerjayanya sebagai pengacara tidak lama lagi.
As’ad diberi peluang untuk mengendalikan program hiburan bernama Inbox yang akan bersiaran secara langsung setiap Sabtu dan Ahad di saluran SCTV bermula 10 Mac depan.
“Alhamdulillah tawaran ini merupakan satu penghargaan untuk saya mengembangkan bakat pengacaraan di negara seberang.
“Ikutkan saya perlu ke udara selama sebulan tapi memandangkan jadual agak padat di Malaysia, saya tak dapat nak berada di set setiap minggu.

“Selepas sebulan bersiaran, jika mereka minta saya teruskan program ini, saya akan pertimbangkan dan tak mungkin menolak,” katanya.
Peluang yang diterima As’ad ini nyata merupakan platform terbaik untuk penyanyi yang popular dengan lagu Senyum itu mengangkat namanya di sana yang sekaligus akan turut membantu membangunkan karier seninya di dalam negara.
Apa-apa pun, kita ucapkan selamat berjaya untuk As’ad di Indonesia. – MYNEWSHUB.CC/EZ

