SEREMBAN – Alumni universiti di negara ini diingatkan agar tidak melupakan bantuan yang dihulurkan kerajaan semasa mereka melanjutkan pengajian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata tidak seperti sesetengah negara lain, di Malaysia, semua rakyat berpeluang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.
“Ini semua kerana keprihatinan kerajaan terhadap hal ehwal pendidikan di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam Bersama Menteri Sempena Perasmian Persatuan Alumni Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Se-Malaysia (ASPAA) dan Ramah Mesra Komuniti Setempat, di sini malam ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pertemuan semula alumni merupakan salah satu cara bagaimana alumni boleh membina jaringan dalam membangunkan diri sendiri, menyumbang kepada universiti, masyarakat dan negara.
Sementara itu, ASPAA telah mengumpulkan 15,000 alumni yang kini berkhidmat di pelbagai sektor, organisasi dan entiti, dalam dan luar negara. – BERNAMA