TAIPING – Seramai 16,716 ahli lembaga pengarah koperasi sekolah membabitkan pelajar dan pengetua dari 2,388 koperasi sekolah di seluruh negara akan melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tahun ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata langkah itu bertujuan mewujudkan kesedaran dalam meningkatkan pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar di negara ini.
“Kita mahu golongan berkenaan dapat didedahkan mengenai bahaya rasuah menerusi pencegahan awal bermula daripada peringkat sekolah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis lafaz IBR koperasi peringkat negeri dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
IBR itu ditandatangani oleh Pengerusi Angkasa Perak Mohd Rosli Basri yang kemudiannya diserahkan kepada Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak Ahmad Shukri Mohamad Taib.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata meskipun masalah rasuah dalam kalangan koperasi tidak sampai dua peratus, pihaknya tetap memandang serius masalah rasuah dan berharap IBR dapat membantu menambah baik sistem pengurusan koperasi.
“Sasaran kita IBR akan dilaksanakan di kesemua 13,600 koperasi di seluruh negara dan buat masa ini, kita sudah laksanakan IBR di Sarawak dan Perak,” katanya.
Abdul Fattah turut menyatakan Angkasa menguruskan RM1.4 bilion transaksi pinjaman setiap bulan membabitkan dua juta kakitangan awam yang membuat pinjaman melalui koperasi. – BERNAMA