KUALA LUMPUR – Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang dihoskan oleh Malaysia mencatatkan penyertaan luar biasa oleh peserta berbanding forum sebelumnya pada 2014.
Menurut pengarah eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN Habitat), Datuk Maimunah Mohd Sharif, 25,660 peserta didaftarkan setakat semalam berbanding 22,000 peserta semasa forum Medellin 2014 di Colombia.
Bilangan negara yang menyertai WUF9 juga meningkat kepada 19 peratus dengan mencatatkan sejumlah 185 negara berbanding 155 negara sebelum itu.
Beliau berkata daripada jumlah negara yang menghadiri forum Kuala Lumpur, 90 peratus adalah Negara-negara Kurang Membangun.
Maimunah berharap hasil forum akan mengukuhkan pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu (NUA), yang diterima pakai oleh persidangan United Nations Habitat III di Quito, Ecuador pada 2016.
“Hakikat bahawa mereka berada di sin i untuk menghadiri WUF9 menunjukkan komitmen mereka kepada perbandaran yang mampan dan saya menggesa mereka bekerjasama untuk mewujudkan masa depan bandar yang lebih baik untuk semua,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Di samping itu, Maimunah berkata UN Habitat sedang menyediakan alat untuk menilai pelaksanaan NUA dan WUF memainkan peranan penting.
“Itulah sebabnya semasa WUF, saya mahukan maklum balas terutama dari kerajaan tempatan dan kerajaan serantau, kerana mereka adalah yang turun padang dan juga dari kerajaan nasional untuk memaklumkan status pelaksanaan NUA,” kata beliau.
Agenda itu juga memberi panduan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), yang merupakan gesaan universal untuk membasmi kemiskinan, melindungi planet dan memastikan semua penduduk dunia menikmati keamanan dan kemakmuran. – BERNAMA