KUALA LUMPUR – Penganjuran Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) di ibu negara pada Februari lepas memberi impak positif, antara lain kepada ekonomi negara dan industri pelancongan, menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Katanya, pencapaian yang diraih Malaysia dalam penganjuran WUF9 jauh lebih penting berbanding soal kehadiran delegasi Israel pada acara itu.
Beliau berkata ini juga dapat dilihat apabila kira-kira RM184 juta diraih melalui jumlah resit penginapan, makanan dan membeli-belah sepanjang penganjuran forum itu dari 7 hingga 13 Februari.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Reezal Merican berkata delegasi Israel tidak diberi layanan rasmi dan kehadiran mereka adalah atas undangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Oleh kerana mereka berada di sini atas undangan PBB, mereka dibenarkan masuk ke negara ini,” katanya. – BERNAMA